"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kastam (JKDM) Kedah berjaya menumpaskan Sindiket sewa MPV mewah angkut dadah

Bernama

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam (JKDM) Kedah menumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan methamphetamine seberat 110kg yang dianggarkan bernilai RM3.52 juta di Kampung Tok Kun dekat Pokok Sena Rabu lalu.

Pengarahnya, Nor Izah Abdul Latiff, berkata berdasarkan maklumat risikan, sepasukan pegawai JKDM Cawangan penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mencurigakan bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena kira-kira 8.30 pagi.

“Menyedari kenderaan mereka dikesan, suspek terjun dari kenderaan masih bergerak dan cuba melarikan diri ke kebun getah berhampiran, namun tindakannya gagal apabila dia diberkas.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui empat guni besar pelbagai warna tersorok di belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang di dalamnya dipercayai mengandungi methamphetamine,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, methamphetamine itu dianggarkan seberat 110kg dengan nilai RM3.52 juta dan ia rampasan terbesar JKDM Kedah tahun ini.

Menurutnya, suspek yang tiada pengenalan diri ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman 12 hari mulai 5 Dis lalu.

Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran gelap di Lembah Klang dan kenderaan dipandu itu disewa dari sebuah syarikat.

Beliau berkata, pihaknya percaya modus operandi sindiket adalah menggunakan kereta mewah bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tiada ulasan: