Israel 'rampas' wilayah di kawasan dikuasai Syria di Bukit Golan
Agensi
KERETA kebal Israel mengambil kedudukan di sempadan dengan Syria berhampiran perkampungan Druze, Majdal Shams di Bukit Golan yang diilhamkan Israel pada 8 Disember 2024. GAMBAR fail AFP
Gaza: Israel 'merampas' wilayah di kawasan yang dikuasai Syria di Bukit Golan, ketika tenteranya memberi amaran kepada rakyat Syria yang tinggal di lima perkampungan berhampiran dengan bahagian yang diduduki Israel di kawasan strategik untuk "tinggal di rumah", lapor Al Jazeera.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, beliau mengarahkan tentera Israel untuk merebut zon penampan di Bukit Golan yang ditubuhkan oleh perjanjian gencatan senjata 1974 dengan Syria, selepas kemaraan kilat oleh tentera pembangkang Syria menamatkan pemerintahan Bashar al-Assad.
Netanyahu pada Ahad berkata, perjanjian berpuluh tahun sudah 'runtuh' dan askar Syria meninggalkan kedudukan mereka, dan memerlukan pengambilalihan oleh Israel.
"Kami tidak akan membenarkan mana-mana pasukan bermusuhan bertapak di sempadan kami," katanya.
Israel menawan sebahagian daripada Bukit Golan dalam perang 1967 dan mengilhakkannya. Masyarakat antarabangsa - kecuali Amerika Syarikat - menganggap kawasan itu sebagai wilayah yang diduduki Israel secara haram.
Selepas komen Netanyahu, tentera Israel mengeluarkan "amaran segera" kepada rakyat Syria yang tinggal di Ofaniya, Quneitra, al-Hamidiyah, Samdaniya al-Gharbiyya dan al-Qahtaniyah - semuanya berdekatan dengan bahagian yang diduduki Israel di Bukit Golan.
"Pertempuran di kawasan anda memaksa IDF (Pasukan Pertahanan Israel) bertindak dan kami tidak berniat untuk mencederakan anda," kata Kolonel Avichay Adraee, jurucakap bahasa Arab tentera Israel, di media sosial.
Kawasan pertanian di Bukit Golan yang diduduki Israel diisytiharkan sebagai zon tentera tertutup dan beberapa sekolah beralih ke kelas dalam talian untuk menjangkakan pergolakan.
Sementara itu, Al Jazeera yang memetik laporan media Israel pada Ahad berkata, tentera udara Israel mengebom depot senjata di selatan Syria dan Damsyik untuk menghalang kumpulan pembangkang daripada merampasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan