"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu Shah Alam bakal bubar, kecewa persidangan ditangguh lagi

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Bersatu Shah Alam membidas keputusan saat akhir parti menangguhkan persidangan bahagian itu untuk memilih barisan pimpinan baharu bagi penggal 2025-2027 dijadualkan 3 petang ini.

Ketua Bersatu Kampung Kebun Bunga, Mohamad Anuar Giman berkata surat pembatalan dikeluarkan Setiausaha Agung Azmin Ali lewat malam tadi dianggap tidak munasabah ‘dengan alasan siasatan lembaga disiplin berhubung kejadian rusuhan pada persidangan 2 Nov lalu masih berjalan’.

Azmin menjelaskan siasatan yang turut membabitkan calon bertanding menyebabkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memutuskan persidangan Bersatu Shah Alam hari ini ditangguhkan.

Namun, Anuar yang juga bekas ahli jawatankuasa Bersatu Shah Alam mendakwa tindakan membatalkan persidangan pada saat-saat akhir itu sebenarnya dibuat untuk membantu calon tertentu disokong seorang Adun Bersatu yang dijangka akan kalah pada pemilihan hari ini.

“Dari 2 Nov hingga lewat malam tadi, mengapa beberapa jam sebelum persidangan baru parti nak maklumkan? Mengapa tidak dua atau tiga hari sebelum persidangan semula ini?

“Kami seolah-olah diperkotak-katikkan selepas berusaha keras untuk menjayakan persidangan ini, segala persiapan dari dewan, makanan dan pemberitahuan kepada perwakilan telah dibuat.

“Penatnya tiada siapa tahu dan kami tidak dibayar pun tetapi ikhlas bantu parti, tetapi ini balasannya,” katanya kepada FMT.

Anuar menegaskan mereka tetap akan hadir ke Dewan Lavender, Seksyen 7, Shah Alam untuk menghadiri ‘persidangan’ itu yang dijangka bertukar menjadi majlis pengumuman keluar parti.

“Kami dah penat dengan permainan politik yang memperlekehkan ahli semata-mata untuk kepentingan pemimpin tertentu.

“Mungkin kami akan umum keluar parti beramai-ramai, boleh dikatakan Bersatu Shah Alam bakal bubar,” katanya.

Mengikut surat dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bertarikh 9 Dis, Bersatu Shah Alam diminta mengadakan persidangan semula hari ini dengan pasukan mengendalikan pemilihan juga telah dilantik.

Selain Shah Alam, JPP Bersatu turut mengumumkan 10 bahagian yang tidak boleh bersidang dalam pemilihan pada 2 Nov lalu iaitu Hulu Langat, Kota Melaka, Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong dan Cameron Highlands.

Antara alasannya ada aduan mendakwa laporan palsu dihantar berhubung persidangan cawangan-cawangan dan juga keahlian.

FMT menghubungi Azmin untuk mendapat maklum balas.

Tiada ulasan: