"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilik bengkel parah ditikam pelanggan

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik bengkel kereta parah di leher dan dada selepas ditikam pelanggannya dalam kejadian di premis berkenaan di Subang, semalam.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.20 petang dan sebelum itu, lelaki berusia 54 tahun berkenaan membaiki kereta milik suspek lelaki berusia 40 tahun yang mengalami masalah brek.

“Setelah kerosakan dibaiki, suspek telah membuat pembayaran dan beredar dari bengkel itu, bagaimanapun dua jam kemudian suspek datang semula ke bengkel terbabit dan berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semasa pertengkaran suspek menyerang mangsa dengan senjata tajam pada leher dan dada sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Alza.

“Mangsa yang mengalami pendarahan berjalan sejauh 200m ke sebuah klinik swasta sebelum pengsan di bahagian pejalan kaki klinik berkenaan. Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Wan Azlan berkata, motif kejadian masih dalam siasatan manakala suspek dikenal pasti dan sedang dikesan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Tiada ulasan: