"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

7 suspek kes curi kabel, cuba langgar polis ditahan

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tujuh suspek disyaki dalang kes curi kabel di Jalan Lang Hitam, dekat Manjalara, Kepong di sini pada 4 Disember lalu ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar bandaraya ini serta Selangor.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, kumpulan terbabit turut memecut laju kenderaan dinaiki ketika cuba meloloskan diri sebaik terserempak polis, selain cuba melanggar anggota bertugas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata semua tujuh suspek berusia 24 hingga 37 tahun itu ditahan melalui lima serbuan di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur antara 4 hingga 8 Disember lalu.

Hasil tangkapan, polis merampas 10 telefon bimbit serta empat kenderaan, masing-masing satu pacuan empat roda Ford Ranger, Perodua Myvi, Toyota Vios dan Volkswagen Golf, dengan tiga daripada kenderaan sewa.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan untuk mencuri kabel serta kelengkapan pakaian seperti pekerja kontrak yang disyaki dipakai ketika mencuri kabel bagi mengaburi orang ramai.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah, selain ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah," katanya.

Mengulas kejadian 4 Disember lalu, Ahmad Sukarno berkata sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kepong yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota terbabit mengarahkan kenderaan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju dan hendak melanggar anggota polis.

"Keadaan ini memaksa polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek namun mereka berjaya meloloskan diri," katanya.

Dengan tertangkapnya tujuh suspek itu, Ahmad Sukarno berkata pihaknya berjaya menyelesaikan siasatan kes cubaan bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: