"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida Kamaruddin hanya perlu bayar RM100,000 kepada PKR

Ho Kit Yen

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Zuraida Kamaruddin kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti yang ditandatangani tujuh tahun lalu daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Hakim See Mee Chun, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata bekas naib presiden PKR itu melanggar terma bon tersebut, namun jumlah RM10 juta yang beliau diarahkan bayar sebelum ini adalah ‘keterlaluan’.

“Tidak munasabah untuk beliau menanggung jumlah RM10 juta itu seorang diri.

“Parti berhak menerima ganti rugi, tetapi bukan sebanyak RM10 juta,” katanya sambil menambah 10 Ahli Parlimen lain turut meninggalkan parti itu pada masa yang sama, empat tahun lalu.

Turut bersidang Hakim Azman Abdullah dan Ahmad Kamal Shahid.

Mahkamah turut memerintahkan Zuraida membayar kos sebanyak RM40,000 kepada PKR.

PKR memfailkan saman terhadap Zuraida pada 2020 dengan mendakwa beliau melanggar bon kontrak apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada Feb 2020.

Parti itu berkata, Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 memberinya hak untuk mendapatkan ganti rugi atas manfaat dinikmati Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang dan dilantik sebagai menteri.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa bon itu “tidak berperlembagaan” dan PKR tidak boleh melaksanakan syarat itu kerana ia melanggar kebebasan berpersatuan dijamin bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Zuraida melanggar bon tersebut dan mengarahkan beliau membayar jumlah RM10 juta seperti yang dinyatakan dalam dokumen. Bagaimanapun, Zuraida merayu keputusan itu.

PKR diwakili peguam Navpreet Singh, William Leong dan Chiew Choon Man manakala Azhar Harun mewakili Zuraida.

Zuraida, yang hadir semasa prosiding, berkata beliau menerima keputusan mahkamah itu.

“Saya anggap ini sebagai derma kepada parti,” katanya dan secara berseloroh beliau akan bayar dalam not RM1.

Tiada ulasan: