"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Ebit Lew: 'Mahu rendahkan ego suami' - Saksi

Sinar Harian

TENOM: Saksi pendakwaan yang kesembilan dalam kes Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom bahawa dia ingin merendahkan ego suaminya selepas melihat kesan daripada peserta yang menyertai program Keluarga Sunnah yang dikendalikan pendakwah tersebut.

Saksi yang juga pengadu dalam kes tersebut berkata demikian dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azizah Mohamad berhubung jawapannya kenapa dia mengatakan 'tidak' pada satu soalan di mahkamah.

"Saya jawab 'tidak' sebab saya cari Ebit Lew kerana dia adalah seorang pendakwah dan 'motivator' kepada program Keluarga Sunnah pada ketika itu.

"Saya ingin menyertai bersama suami memandangkan masalah dalam keluarga kami, saya ingin sangat rendahkan ego suami pada masa itu memandangkan saya pernah tengok kesan kepada peserta program Keluarga Sunnah," katanya ketika memberi keterangan di mahkamah pada Isnin.

Sebelum itu, saksi dirujuk oleh Azizah menerusi soalan daripada peguam Datuk Ram Singh dalam pemeriksaan balas sebelum ini iaitu melainkan saksi mempunyai masalah yang serius dalam perkahwinannya yang menyebabkan dia mencari Ebit Lew.

Sementara itu, dalam soalan seterusnya, saksi menyatakan bahawa dia menyatakan tidak bersetuju dalam soalan sebelum ini berhubung cadangan Ram bahawa dia sedar dengan apa yang telah dilakukannya dan ia bukan tindakan yang bodoh.

"Ya saya tidak setuju sebab walaupun siapa saya tetapi adalah tidak mustahil siapa-siapa pun boleh diperbodohkan seperti apa yang Ebit Lew lakukan pada saya. Sebab terleka, saya jadi bodoh masa itu," katanya.

Perbicaraan ditangguhkan jam 12 tengah hari dan disambung semula jam 2 petang selepas saksi memohon untuk berehat sebentar kerana tidak sihat dan mempunyai surat cuti sakit.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 39, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azizah, Analia Kamaruddin dan Rasyidah Murni Adzmi, manakala Ebit Lew diwakili oleh Ram, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. - Sinar Harian

Tiada ulasan: