"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan kekasih kaut RM10,800 sehari curi tabung derma anak yatim

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
ANTARA tabung derma yang dirampas polis dalam tangkapan suspek di sebuah kondominium di Klebang, Melaka.
MELAKA – Perbuatan keji sepasang kekasih mencuri tabung wang derma anak-anak yatim dan madrasah berjumlah lebih RM10,800 sehari terbongkar selepas dicekup pihak polis, minggu lalu.

Suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 33 dan 35 tahun itu dicekup pasukan daripada cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.10 pagi di sebuah kondominium di sekitar Klebang, 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dikesan melakukan kegiatan itu dengan menyamar sebagai wakil madrasah dan rumah anak yatim bagi mengutip tabung derma yang diletakkan di kedai-kedai makan.

Katanya, hasil soal siasat suspek dipercayai aktif melarikan tabung derma di beberapa buah negeri termasuk Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sejak dua tahun lalu.

“Modus operandi pasangan ini adalah dengan pergi ke warung dan kedai makan dan berpura-pura sebagai wakil daripada pihak madrasah, pondok serta rumah anak yatim bertujuan untuk mengambil tabung derma yang diletakkan di premis berkenaan.

“Pasangan ini memperoleh kira-kira RM10,800 sehari melalui cara pemerdayaan sedemikian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, hasil pemeriksaan di lokasi tangkapan turut menemukan 54 buah tabung derma yang dilarikan.- KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: