Malaysiakini
Seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno menggesa Dr Mahathir Mohamad supaya disiasat berhubung keputusannya berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Mohd Puad Zarkashi berkata bekas perdana menteri itu perlu didakwa di mahkamah untuk membongkar misteri yang menyelubungi tindakan Mahathir menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menganugerahkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Kenyataan Puad hadir selepas wartawan veteran A Kadir Jasin mencadangkan Malaysia mendapatkan ganti rugi atas kehilangan pulau itu.
“Nak tanya Kadir, ganti rugi dari siapa? Dari Singapura? Malaysia tak pasal pasal membayar ganti rugi kepada Singapura kerana projek HSR (kereta api berkelajuan tinggi) dibatalkan oleh Mahathir.
"Sebab itu Mahathir mesti disiasat dan dikenakan tindakan. Apakah mungkin ada kaitan membatalkan semakan kehakiman Batu Puteh dengan setuju membatalkan projek HSR?" soal Puad di Facebook hari ini.
Dia merujuk kepada keputusan Mahathir pada Mei 2018 untuk membatalkan projek itu, yang melibatkan pembayaran pampasan RM300 juta kepada Singapura.
Pada 5 Dis, Suruhanjaya Siasatan Diraja Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah dilancarkan terhadap Mahathir.
Laporan itu - yang didedahkan di Parlimen - menuduh Mahathir menipu kabinet pada 2018 untuk menarik balik semakan Malaysia terhadap keputusan ICJ menganugerahkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Dalam catatan blog semalam, Kadir, yang dikenali sebagai penyokong setia bekas perdana menteri, berkata Mahathir tidak mempunyai masalah untuk disiasat kerana dia sentiasa mengalu-alukan peluang sedemikian "set the record straigh" (menjelaskan perkara sebenar).
“Sebaik-baiknya janganlah berhenti dengan usaha menghukum Mahathir saja. Yang lebih afdal adalah bagi kerajaan Malaysia Madani melakukan yang lebih baik bagi mendapatkan 'ganti rugi' dalam bentuk lain melalui perhubungan baiknya dengan Singapura," tambahnya.
Sehubungan itu, Puad bertegas bahawa Mahathir harus dihukum jika didapati bersalah.
“Denda RM1,000 pun ok. Ia simbol pengajaran untuk anak cucu jangan memandai jual maruah negara kerana dendam politik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan