Agensi
MURRAY memandu SUV dan merempuh pusat pengedaran. FOTO Agensi
Washington: Akibat berang, lelaki di Utah, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, bertindak memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang baru dibelinya dan merempuh sebuah pusat pengedar kereta dengan sengaja selepas gagal memulangkan kenderaan itu.
Polis di Sandy, sebuah bandar di Salt Lake City berkata, Michael Lee Murray membeli kenderaan daripada Tim Dahle Mazda Southtowne pada pagi Isnin lalu.
Video yang dikongsi dengan Fox 13 News dan dimuat naik ke media sosial mendedahkan kereta itu adalah model Subaru Outback.
Rakaman menunjukkan pemandu kenderaan itu merempuh kedai, sebelum berhenti di dalamnya.
Seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan sebelum kelihatan menjerit ke arah individu yang merakam video.
Laporan kes diperoleh Fox 13 News berkata, suspek dikenali Murray, 35, mendapati ada masalah mekanikal dengan kenderaan dibelinya dan dia kembali ke pusat pengedar untuk memulangkannya.
Bagaimanapun, kakitangan di situ enggan mengambil semula kenderaan itu dengan alasan ia sudah dijual seadanya.
Murray kemudiannya didakwa mengancam untuk memandu kenderaan itu melalui pintu depan pusat pengedar itu, jika mereka tidak menerima pemulangan dan mengembalikan wangya.
"Kira-kira jam 4 petang, dia (Murray) melakukannya," kata laporan polis itu.
Afidavit itu menambah kenderaan Murray berada di dalam bangunan.
Pintu hadapan kini berada di dalam bangunan dan terdapat kaca pecah di sekeliling kenderaan berkenaan.
Berdasarkan laporan polis, tujuh jurujual yang berada berhampiran dengan pintu depan apabila Murray didakwa merempuh kenderaannya melalui pintu premis itu.
Bagaimanapun, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu walaupun bangunan itu dipercayai mengalami kerugian dianggarkan AS$10,000 (kira-kira RM44,273).
Susulan insiden itu, Murray ditahan kemudian dimasukkan ke dalam Penjara Daerah Salt Lake dan didakwa atas kesalahan jenayah kerana memandu dengan bahaya dan melulu.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan