B Nantha Kumar
Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung skandal visa perubatan untuk membawa masuk warga asing mendapati seorang pegawai rendah Jabatan Imigresen (JIM) mempunyai aset hampir RM1 juta, kata sumber.
Dapatan itu diperoleh setelah EAIC mengambil keterangan beberapa anggota JIM.
"Kami di JIM sendiri terkejut apabila mendapat tahu seorang anggota gred rendah terlibat visa rawatan membeli aset lebih kurang RM1 juta.
Menyifatkan seperti tiada pengakhiran, sumber berkata “semakin dikorek, semakin banyak ditemui” dalam skandal itu.
Sumber yang juga pegawai kanan di ibu pejabat EAIC mengesahkan bahawa EAIC menyita berbelas-belas kotak mengandungi dokumen pembayaran melibatkan visa perubatan.
Kebanyakan pegawai gred rendah bertugas di kaunter perkhidmatan.
Malaysiakini telah menghubungi, JIM dan EAIC sejak minggu lepas untuk mendapatkan komen. Bagaimanapun, sehingga laporan ini disiarkan tiada maklum balas diterima.
Terdahulu, EAIC menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan salah laku berkaitan skandal itu.
Siasatan penuh dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Mereka juga menyerbu Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen (JIM) di Putrajaya serta menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).
Selain pegawai JIM, siasatan turut melibatkan beberapa pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
JIM sebelum ini memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam sindiket itu.
EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang, antara lain, mempunyai kuasa menyiasat sebarang aduan salah laku penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan