"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akar umbi Pas di Johor keliru, terus bantu Bersatu?

Harapandaily
Dakwaan bahawa jentera Pas di Johor masih membantu kempen calon Bersatu walaupun kepimpinan pusat parti itu mengeluarkan arahan sebaliknya menunjukkan wujud kekeliruan dalam kalangan akar umbi berhubung hala tuju kerjasama politik kedua-dua parti.

Pengasas bersama Bersatu, Datuk Redzuan Md Yusof, berkata kerjasama di peringkat akar umbi antara Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa, terutama di kawasan yang ditandingi calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Memetik laporan Utusan Malaysia beliau mendakwa kehadiran jentera Pas dapat dilihat di beberapa lokasi kempen, walaupun sebahagiannya memilih untuk membantu secara tidak rasmi.

“Jika mengatakan jentera Pas tidak membantu Bersatu, itu tidak betul. Memang ada kehadiran mereka walaupun secara senyap berkempen.

“Tetapi sepanjang saya berada di Johor, kita melihat memang ada kehadiran jentera Pas yang turut membantu kempen calon kita,” katanya.

Redzuan berkata keadaan itu dipercayai berpunca daripada kekeliruan dalam kalangan ahli Pas di Johor terhadap pendirian kepimpinan pusat parti berkenaan.

Menurutnya, akar umbi Pas sebelum ini sering didedahkan dengan naratif penyatuan ummah, namun pada masa sama diminta untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Johor.

Beliau berpendapat keadaan itu menyebabkan sebahagian ahli di peringkat akar umbi terus memilih untuk membantu calon Bersatu atas semangat kerjasama yang telah lama terjalin dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya melihat akar umbi Pas di Johor masih keliru dengan pendirian Pas Pusat yang mahu memperjuangkan agenda penyatuan ummah tetapi dalam masa sama tidak menggalakkan kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya ini,” katanya.

Redzuan menjangkakan kerjasama di peringkat akar umbi itu akan berterusan sehingga hari pengundian bagi meningkatkan peluang PN memenangi lebih banyak kerusi.

Terdahulu, Pas mengarahkan jenteranya supaya memberi tumpuan kepada kerusi yang ditandingi parti itu serta komponen lain dalam PN susulan penamatan kerjasama politik antara Pas dan Bersatu.

Bagaimanapun, Redzuan mendakwa situasi di lapangan menunjukkan hubungan antara penyokong kedua-dua parti masih erat, sekali gus menyaksikan sebahagian jentera Pas terus membantu kempen calon Bersatu secara tidak rasmi di beberapa kawasan.

Tiada ulasan: