Sinar Harian
![[TB]_Pemilik bengkel tetak lelaki_SINAR](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://media.astroawani.com/awani/media/uploads/image/2026-07/%5BTB%5D_Pemilik%20bengkel%20tetak%20lelaki_SINAR.jpg?VersionId=A9PTClFQQNYuhnKCWFHSUct.E4wBi1vS)
Devaidran (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi proses ikat jamin. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seorang pemilik bengkel kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menetak seorang lelaki yang dikatakan tidak dikenalinya, tahun lalu.
K Devaidran, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil, di hadapan Hakim, 'Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang memakai baju-T berwarna jingga itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah dengan menetak badan, kaki dan tangan B Kartigeyen, 39, menggunakan parang di Batu 14, Puchong jam 11.30 malam pada 25 Januari 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
“Termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat, tidak mengganggu saksi-saksi terutama mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, sekiranya ada,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Mohd Safwan Saleh yang mewakili tertuduh merayu anak guam diberi ikat jamin pada kadar minimum.
Menurutnya, Devaidran sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, malah isterinya perlu menjalani proses pemulihan selepas pembedahan pinggang.
“Ekoran kes ini, bengkelnya terpaksa ditutup sekali gus menyukarkannya untuk menyediakan kadar jaminan sekiranya ditetapkan terlalu tinggi,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, 'Ainul Bashiirah Dona membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 Ogos depan. -Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan