"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri warga asing ditahan, disyaki terbabit kes seluk saku di Jonker Walk

Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Taktik licik wanita menyeluk dompet mangsa ketika suaminya bertindak sebagai pemerhati keadaan di kawasan tumpuan pelancong di Jalan Hang Jebat (Jonker Walk), akhirnya terbongkar apabila diberkas polis, Sabtu lalu.

Pasangan warga Indonesia berusia 35 tahun yang dipercayai aktif melakukan jenayah seluk saku di sekitar bandar raya itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 3 petang pada 4 Julai lalu, hasil maklumat dan kerjasama orang awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, turut ditahan dalam operasi sama adalah lelaki warga China berusia 27 tahun yang melarikan diri bersama pasangan terbabit ketika serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas dua beg galas, dua beg dompet, lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua batang payung, pelbagai pakaian dan kasut serta wang tunai dalam mata wang Malaysia dan Indonesia bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati modus operandi geng ini terancang dengan suspek wanita bertindak menyeluk dan mengambil dompet mangsa, manakala suspek lelaki pula memerhati keadaan serta memastikan perbuatan itu tidak disedari sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata, hasil soal siasat mendapati pasangan warga Indonesia itu kerap keluar masuk Malaysia sejak Januari lalu dan dipercayai terbabit dalam beberapa kes seluk saku di sekitar Melaka.

“Warga China itu pula datang ke negara ini sejak Jumaat lalu dan siasatan awal dia tidak terbabit jenayah itu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Ketiga-tiga suspek juga tiada rekod jenayah lampau dan mereka direman sehingga 16 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Tiada ulasan: