"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tetak penunggang di lebuh raya dipenjara 10 tahun, 2 sebatan

FMT Reporters

Tertuduh Azmi Jantan dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan.
Tertuduh, Azmi Jantan, 43,dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah menetak seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menetak seorang penunggang motosikal dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu.

Tertuduh, Azmi Jantan, 43, dijatuhi hukuman oleh Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid selepas dia membuat pengakuan itu atas pertuduhan.

Dia diarahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jun lalu, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun dengan menetaknya menggunakan pisau potong daging iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, kira-kira 8.19 pagi, 11 Jun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

Menurut fakta kes, mangsa yang juga eksekutif sebuah syarikat mengalami kecederaan patah tulang bahu, tulang tangan, tulang jari dan pergelangan tangan kiri serta luka di kepala dan muka.

Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran serta faktor mangsa mengalami kecederaan kritikal di bahagian organ penting akibat serangan tertuduh.

Beliau meminta mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan kes itu berpunca daripada perkara remeh iaitu membunyikan hon di lebuh raya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon mahkamah mengurangkan hukuman selain memaklumkan mahkamah dia tiada tanggungan serta tidak mengenali mangsa.

Tiada ulasan: