FMT Reporters
PETALING JAYA: Enam lelaki Rohingya diberkas selepas disyaki menyamun acuan aluminium dianggar RM200,000 di sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang, Melaka.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, berkata semua suspek berusia 18 hingga 38 tahun yang melakukan samun berkumpulan itu ditahan dalam Op Kargo yang dilaksanakan pada 19 Jun, selepas memecah masuk premis tersebut pada 15 Jun.
“Kejadian samun berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira 2 pagi dengan modus operandi kumpulan berkenaan ialah mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan , sebelum melarikan acuan aluminium yang disimpan di gudang tersebut.
“Susulan kes itu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Melaka telah melancarkan Ops Kargo di sekitar Kajang, Selangor dan berjaya menahan semua suspek terbabit,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, polis turut merampas dua lori, tiga guni berisi bongkah aluminium, dan dua salinan resit jualan barangan lusuh bernilai RM27,440 dan RM101,816.
Katanya, mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak berkumpulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan