Sharifah Mahsinah Abdullah
KOTA BHARU: Polis yakin dapat menyelesaikan kes samun dan rogol membabitkan seorang remaja perempuan di Tumpat, susulan penahanan suspek utama.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan dalam satu operasi polis.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mengenali suspek dan lelaki itu dipercayai beberapa kali cuba mendekati mangsa sebelum kejadian.
“Kita percaya kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan suspek utama.
“Suspek dikenali mangsa dan siasatan mendapati dia beberapa kali cuba mendekati mangsa sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kelantan Food Festival – Jom Santai X Syahmi Sazli di sini, petang ini.
Mohd Yusoff berkata, polis turut menemui semula telefon bimbit milik mangsa selepas mengesannya di sebuah kedai telefon bimbit yang dipercayai telah membelinya.
“Pemilik kedai berbangsa Cina itu telah dirakam percakapannya bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Mengenai program hari ini, Mohd Yusoff memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan yang mencukupi telah diatur bagi acara berkenaan serta Kelantan Food Festival yang berlangsung di lokasi sama.
Beliau berkata, penganjuran program itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan serta polis.
“Kita akan terus memantau program ini. Selain anggota beruniform, anggota polis berpakaian preman turut ditempatkan bagi memantau keadaan dan memastikan keselamatan orang ramai sepanjang program berlangsung,” katanya.
Pada bulan lalu, seorang remaja berusia 15 tahun disamun dan dirogol ketika berjoging di Palekbang, Tumpat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan