"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 lelaki ditahan gaduh depan kelab malam di Pudu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki kerana dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan dan rusuhan di hadapan sebuah kelab malam di Pudu, selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Wangsa Maju, Annas Sulaiman berkata semua suspek berumur dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun itu ditahan selepas rakaman berdurasi 38 saat dikesan di Facebook pada Ahad lalu.

“Hasil semakan mendapati kejadian berlaku di hadapan kelab malam Esperance Pudu berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu sebelum melarat menjadi pergaduhan besar di luar premis.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hitam yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Annas berkata, semakan rekod mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah kekerasan dan dadah.

“Semua suspek direman selama lima hari bermula 31 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan, dan usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang dipergiat,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 148 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular rakaman video yang memaparkan pergaduhan membabitkan sebuah kumpulan individu di luar sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian itu sebuah kereta Perodua Myvi juga dilihat dipandu laju dan melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Tiada ulasan: