"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu, kes Khatan: Mahkamah perintah klinik bayar RM359,000 kepada keluarga

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu memerintahkan sebuah rangkaian klinik perubatan swasta membayar ganti rugi lebih RM359,000 kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan keluarganya, berhubung prosedur khatan tiga tahun lalu.

Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh membenarkan tuntutan balas yang difailkan ibu kanak-kanak itu, 36, terhadap Hijraa Healthcare Sdn Bhd selepas memutuskan bahawa wanita berkenaan berjaya membuktikan tuntutan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah memerintahkan klinik itu membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi khas sebanyak RM59,122.90.

Ibu kanak-kanak itu memulakan tuntutan balas selepas Hijraa Healthcare memfailkan saman fitnah terhadapnya dan seorang lagi pengguna Facebook berhubung ulasan buruk terhadap klinik berkenaan.

Saman fitnah terhadap kedua-dua wanita itu ditolak selepas mahkamah mendapati ulasan berkenaan berdasarkan fakta dan pengalaman mereka dengan klinik tersebut.

Dalam tuntutan balasnya, si ibu berkata anak lelakinya menjalani prosedur berkhatan di klinik berkenaan pada Februari 2023, selepas itu kanak-kanak tersebut mengalami pendarahan tanpa henti.

Prosedur itu dilakukan oleh dua doktor bertugas dan si ibu mendakwa mereka tidak pernah menasihatinya mengenai risiko yang mungkin dihadapi anaknya.

Kanak-kanak itu kemudian dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, dan pembedahan dilakukan bagi membetulkan kerosakan yang dilakukan oleh kedua-dua doktor berkenaan.

Doktor dari hospital kerajaan memberi keterangan bahawa adalah tidak normal bagi seseorang mengalami pendarahan tanpa henti selepas prosedur berkenaan. Mereka turut berkata tidak dapat dipastikan sama ada keadaan itu akan menjejaskan fungsi seksual pada masa depan.

Aklima menerima keterangan doktor hospital kerajaan berhubung keadaan perubatan kanak-kanak itu dan memutuskan bahawa kedua-dua doktor yang melakukan prosedur berkenaan cuai.

Katanya, kanak-kanak itu “telah mengalami kecederaan serius pada alat sulitnya, yang membawa kepada kehilangan kulit zakar yang ketara, pembentukan parut kekal, serta memerlukan rawatan hospital yang berpanjangan dan prosedur pembedahan lanjutan termasuk ‘full thickness skin grafting’.

Katanya lagi, fungsi zakar daripada segi seksual masih belum dapat ditentukan memandangkan masih kanak-kanak, dan penilaian hanya boleh dibuat apabila pesakit baligh dan dewasa.

Tambahnya, risiko masa depan yang belum diketahui sama ada zakar tersebut akan memberikan fungsi seksual secara normal atau tidak akan menyebabkan kanak-kanak itu dan keluarganya “akan berada dalam tidak pasti dalam satu jangka masa yang ni akan meletakan mereka sekeluarga dalam situasi yang kurang menyenangkan dan akan menjejaskan keadaan psikologi mereka sekeluarga.”

Hakim itu menambah bahawa saman fitnah yang difailkan terhadap si ibu dan pengguna Facebook berkenaan merupakan satu bentuk tekanan yang bertujuan menghalang tuntutan kecuaian perubatan yang dikemukakannya.

Tiada ulasan: