Abd Razak Mohd Ali

Tangkap layar video tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV yang sedang bergerak di Ipoh.
IPOH: Polis sedang menyiasat kejadian dua kanak-kanak duduk di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan kenderaan itu sedang bergerak di jalan raya, yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, setakat ini tiada laporan diterima mengenai kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis sedang mengesan pemilik kenderaan berkenaan.
“Kita akan kenalpasti. Kalau betul kanak-kanak, kita akan siasat bawah Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu tular sebuah video yang memaparkan dua kanak-kanak perempuan duduk di atas sebuah MPV mewah jenis Toyota Alphard.
Kanak-kanak tersebut dipercayai naik melalui 'sunroof' (bumbung tembus cahaya) dalam keadaan kereta sedang bergerak di jalan raya.
Kejadian yang dirakam pengguna jalan raya itu dipercayai berlaku bermula susur keluar Meru ke Jalan Jelapang-Simpang Pulai, bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan.
Rakaman tersebut mendapat kecaman daripada netizen kerana ia boleh membahayakan kanak-kanak berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan