Agensi

Kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada keluarga. FOTO Agensi
New Delhi: Keinginan mendalam untuk memiliki anak lelaki mendorong seorang wanita yang mempunyai enam anak perempuan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari sebuah hospital di sini.
Memetik laporan NDTV, kanak-kanak berkenaan bagaimanapun berjaya ditemukan selamat di daerah Munger, Bihar, pada Isnin selepas polis menjejaki suspek yang melarikan mangsa ke kampung halamannya.
Kejadian terbongkar selepas polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu ketika dia bermain ketika ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Guru Gobind Singh.
Timbalan Komisioner Polis (Barat) berkata, satu pasukan khas ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci susulan kes berkenaan.
Rakaman kamera keselamatan seterusnya menunjukkan wanita itu menaiki e-beca sebelum bergerak menuju ke Kampung Madipur.
Siasatan lanjut berjaya mengenal pasti wanita berkenaan sebagai Chunri Devi, 31, yang menyewa rumah di kawasan Kampung Madipur.
Bagaimanapun, suspek dipercayai sudah melarikan diri ke kampung halamannya di Bihar sebelum pasukan polis sempat tiba di rumah sewanya.
Bertindak berdasarkan risikan teknikal dan maklumat tempatan, pasukan dari Balai Polis Khyala bergegas ke Kampung Asnaha di Munger.
Polis menyerbu lokasi berkenaan dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan selamat sebelum membawanya pulang kepada keluarganya di Delhi.
Dalam sesi soal siasat, suspek yang berasal dari daerah Banka, Bihar, mengaku mempunyai enam anak perempuan dan tidak lagi boleh hamil akibat masalah kesihatan.
Suspek mengakui menculik kanak-kanak itu dari hospital dengan niat untuk membesarkannya sebagai anak lelaki sendiri sebelum polis memulangkan mangsa kepada keluarganya di Delhi.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan