Fairul Asmaini Mohd Pilus
KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan warga Nepal yang didakwa menghina Islam kini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada majikan pengawal keselamatan terbabit di Balai Polis Jinjang pada 31 Ogos lalu.
“Syarikat keselamatan yang menggajikan individu terbabit mengambil tindakan segera selepas dimaklumkan mengenai hantaran berkenaan.
“Pengawal keselamatan terbabit turut dibawa ke Balai Polis Jinjang dan sudah pun diambil keterangannya.
“Kami sedang menunggu perintah penyiasatan (OTI) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pengawal keselamatan terbabit sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didakwa berterusan menyebarkan video di laman sosial yang menghina agama Islam dan Malaysia.
Menurut kenyataan tular yang dikaitkan dengan syarikat majikan terbabit, pihak berkenaan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan.
Pada masa sama, tindakan akan diambil bagi membatalkan permit kerja pengawal keselamatan berkenaan serta menguruskan penghantarannya pulang ke negara asal.
Bagaimanapun, proses berkenaan tertakluk kepada prosedur serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan