Buletin TV3
Foto AFP
NUWAKOT: Seorang wanita Nepal ditemukan hidup, hari ini selepas rumahnya tertimbus lumpur tebal dan serpihan akibat banjir besar yang melanda wilayah itu, 10 hari lalu.
Anggota penyelamat sebelum ini turut menyelamatkan seorang lelaki warga China yang ditemukan hidup di dalam terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.
Anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal bersorak ketika Chandrika Shrestha, 64, yang dipenuhi lumpur, berjaya dikeluarkan dari rumahnya yang tertimbus di daerah Nuwakot.
“Pasukan polis menemukannya ketika mereka membersihkan kawasan berkenaan. Dia diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” kata Timbalan Superintendan Polis, Iqbal Hawari kepada AFP.
Video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah wanita itu kelihatan, manakala tingkat bawahnya tertimbus sepenuhnya dengan lumpur tebal.
Pasukan tindak balas kecemasan terus berusaha mencari mangsa yang terselamat sejak dinding air dan lumpur seperti tsunami melanda sempadan China-Nepal susulan runtuhan glasier dan batu pada 26 Ogos.
Setakat ini, 1,344 mayat ditemukan di Nepal, menurut agensi bencana negara itu, manakala kira-kira 5,000 orang masih hilang.
Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang maut dan 531 masih hilang, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 1,375 orang dengan lebih 5,500 masih hilang. – AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan