"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna telefon bimbit di tandas berisiko dapat buasir

BHarianonline 
Duduk dalam tandas sambil pegang alat peranti menyebabkan tarikan graviti kepada rektum, pembengkakkan dubur. - Foto hiasan
Duduk dalam tandas sambil pegang alat peranti menyebabkan tarikan graviti kepada rektum, pembengkakkan dubur. - Foto hiasan
KESIBUKAN dalam urusan harian menyebabkan kita kerap kali cuba mencuri masa untuk menyelesaikan kerja yang masih tertangguh.

Tabiat membawa peranti seperti telefon bimbit ke tandas untuk menulis dan menghantar e-mel, menulis rencana, membaca buku elektronik dan sebagainya adalah perkara yang patut dielakkan.

Ini tidak termasuk lagi aktiviti menonton aplikasi YouTube dan Netflix atau melayari aplikasi laman sosial sewaktu membuang air besar.

Aktiviti melayari telefon bimbit ketika berada di dalam tandas ini kebanyakan berlaku kepada hampir semua orang terutama mereka yang memerlukan masa untuk bersendirian.

Ramai yang malu mengaku, tetapi inilah hakikat yang berlaku kini. 

Usus yang sihat hanya memerlukan lima hingga 10 minit untuk menyelesaikan 'urusan', tetapi dengan adanya aktiviti 'tambahan', ia akan memanjangkan lagi tempoh itu.

Apabila kita duduk di dalam tandas lebih daripada masa sepatutnya, ia menyebabkan berlakunya tarikan graviti kepada rektum dan dubur. Ini tidak langsung akan menjurus kepada pembengkakan pembuluh darah berhampiran dubur.

Faktor risiko dan gejala buasir

Mengulas lanjut, Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Am Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, berkata buasir terjadi apabila pembuluh darah yang berada pada pangkal dubur membengkak.

Katanya, sesiapa sahaja termasuk individu yang kurang mengambil makanan yang berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mendapat penyakit itu.

"Kurang pengambilan makanan berserat tinggi akan menyebabkan sembelit. Apabila membuang air besar, mereka terpaksa meneran dengan lebih kuat dan lama. Tekanan tinggi yang diberikan akan meningkatkan lagi pembengkakan pembuluh darah di kawasan dubur.

"Luka terbentuk hasil geseran dengan najis yang keras akan menyebabkan pendarahan, selain kemungkinan gejala kanser usus dan rektum," katanya.

Kombinasi di antara sembelit, perubahan pola membuang air besar dan najis berdarah menjurus kepada gejala kanser usus dan rektum.

Jadi, amat yang mengalami kombinasi gejala ini segera berjumpa doktor pakar untuk rawatan lanjut.

Kelahi selepas kemalangan, lelaki bawa kereta lawan arus

Nurayuni Johari
5357595e-c4fc-4e81-bd89-9b28def46069-681x616
Suspek bertindak keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri daripada orang awam yang mengejarnya.
KUALA LUMPUR – Akibat pertengkaran mulut dan takut diugut kenderaan akan dirosakkan – seorang pemandu lelaki bertindak membawa keretanya melawan arus sebelum merempuh beberapa kenderaan di Jalan Kebun, Klang semalam.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sebelum itu lelaki terbabit terlibat dalam kemalangan kecil dengan seorang penunggang motosikal.

“Akibat terlalu takut, pemandu Satria berusia 24 tahun itu memecut laju sehingga ke laluan Jalan Raja Nong dan bergesel dengan sebuah motosikal namun terus melarikan diri selepas dikejar kedua-dua penunggang motosikal terbabit.

“Kemudian, suspek memandu secara melawan arus dan dalam situasi itu, dia telah merempuh beberapa kenderaan lain di bahu jalan sebelum keretanya terjun ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek bertindak keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri daripada orang awam yang mengejarnya.

“Semasa suspek berada di dalam longkang, beberapa orang awam telah bertindak membaling objek dan memukulnya dengan pelepah kelapa namun dia dapat menyelamatkan diri di bawah jambatan.

“Suspek kemudian berjaya diselamatkan sebaik anggota kereta peronda polis datang ke lokasi dan kemudian menahan suspek serta membawanya ke balai polis untuk membantu siastan,” jelasnya.

Hoong Fong menambah, sehingga kini, polis sebanyak 10 laporan telah diterima berhubung kemalangan tersebut daripada mangsa yang terlibat untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi pegawaipenyiasat di talian 011-25300305 atau hadir ke Balai Polis Trafik Klang Selatan. – MalaysiaGazette

Nenek 78 tahun, penari tiang tertua di China

Agensi
PADA usia 70 tahun, Dai memenangi pingat emas dalam pertandingan tarian tiang profesional. FOTO Douyin
PADA usia 70 tahun, Dai memenangi pingat emas dalam pertandingan tarian tiang profesional. FOTO Douyin
Beijing: Dengan solekan glamor, skirt mini dan kasut tumit tinggi, Dai Dali, 78, berputar dengan anggun, melakukan belahan dan tergantung terbalik dari tiang di atas pentas.

Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), bekas pekerja kedai buku di wilayah Sichuan, barat daya China itu sudah menyertai tarian tiang sejak dia bersara pada usia 64 tahun.

Penari tiang tertua di China itu menikmati hobinya dan berjaya memikat pemerhati dengan keazamannya untuk terus menari sehingga usia 80-an.

Dai yang membuat sesi siaran langsung sesi latihan hariannya di media sosial Douyin, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengikut.

"Jangan biarkan umur mengehadkan kita. Saya mahu menua dengan anggun," kata Dai.

Pada usia 70 tahun, Dai memenangi pingat emas dalam pertandingan tarian tiang profesional.

Dia mempamerkan bakatnya di stesen penyiaran CCTV, mewakili China dalam pertandingan Asia's Got Talent, dan dijemput untuk membuat persembahan di Rancangan Realiti NBC, Little Big Shots: Forever Young.

Pada persembahannya di Asia's Got Talent, Dai menerima tepukan gemuruh daripada keempat-empat juri.

"Saya rasa saya bertemu isteri saya yang seterusnya," kata salah seorang juri, penerbit muzik Amerika Syarikat, David Foster, secara berseloroh.

Dai menjawab bahawa dia berasa sangat berbesar hati, tetapi membalas dengan nada melawak bahawa Foster terlalu muda untuk dirinya.
DAI yang membuat sesi siaran langsung sesi latihan hariannya di media sosial Douyin, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengikut. FOTO Douyin
DAI yang membuat sesi siaran langsung sesi latihan hariannya di media sosial Douyin, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengikut. FOTO Douyin
Dai tertarik dengan hobi itu sebagai cara untuk kekal cergas ketika berusia 64 tahun.

Terdapat sebuah studio tarian tiang berhampiran gimnasium tempat dia menghadiri kelas tarian rakyat, dan dia tertarik dengan perasaan 'terbang' di udara.

Apabila dia mula berlatih, kakinya sering lebam, tetapi dia menikmati semua proses dan anggap ia cabaran.

"Saya pernah mengalami keradangan dan bengkak di pergelangan tangan kiri sebelum saya mula menari tiang.

"Saya hampir tidak boleh berbuat apa-apa dengan tangan saya. Tetapi sekarang ia lebih baik," kata Dai kepada SCMP pada 2015.

Di media sosial, ada yang mengkritiknya kerana mengambil hobi seksual dan menggoda, tetapi dia memilih untuk mengabaikan komen sedemikian.

"Apabila saya berputar di atas tiang dan melakukan gerakan yang saya suka, saya berasa cantik," katanya.

Dia juga sudah memasang tiang sepanjang 2.7 meter di bilik tidurnya di rumah untuk latihan harian.

Keluarganya sangat menyokong, walaupun suaminya lebih suka bermain mahjong. Cucunya pula adalah peminat setianya.