FMT Reporters
Adun Pertang berkata perkara itu tidak berasas untuk dilakukan selepas BN berjaya memenangi PRN 1 Ogos lalu.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias sekali lagi menegaskan terima dengan hati terbuka tidak dilantik menteri besar dan minta semua pihak sokong Ismail Lasim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias menafikan dakwaan mempunyai agenda untuk menjatuhkan menteri besar atau institusi diraja negeri itu.
Katanya, perkara seumpama itu tidak berasas untuk dilakukan selepas Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu.
“Pilihan raya dah selesai dan saya pun tidak memegang jawatan menteri besar selain sudah nyatakan hasrat tidak mahu menerima sebarang jawatan exco.
“Jadi, apa lagi masalahnya? Kenapa berterusan tuduh saya? Kalau betul segala dakwaan dinyatakan, tunjukkanlah bukti,” katanya menurut Sinar Harian.
Jalaluddin yang juga Adun Pertang mengulas dakwaan terlibat usaha memaksa Menteri Besar Ismail Lasim menandatangani dokumen menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, keputusan 14 Adun Umno daripada BN menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun sebagai menteri besar sebelum ini disebabkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan dalam mengemudi pentadbiran negeri susulan krisis institusi adat.
“Tidak akan saya nak runtuhkan kerajaan yang telah saya perjuangkan selama ini? Saya gembira hasrat memastikan BN memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya,” katanya.
Jalaluddin sekali lagi menegaskan menerima dengan hati terbuka tidak dilantik sebagai menteri besar dan minta semua pihak memberi sokongan penuh kepada Ismail.
Katanya, selepas kerajaan baharu dibentuk semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada tugas masing-masing dan memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
BN menang 18 DUN pada PRN membentuk kerajaan baharu Negeri Sembilan dengan kerjasama Perikatan Nasional yang memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membawa kepada majoriti dua pertiga.
Ketika kempen berlangsung nama Jalaluddin disebut sebagai menteri besar namun jawatan itu diisi Ismail yang juga Adun Juasseh.
Sebelum ini, Jalaluddin turut menepis dakwaan beliau memboikot majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar dengan berkata jemputan itu diterima pada saat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan