Juwan Riduan
KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki membuat gangguan tidak senonoh ke atas seorang wanita di gelanggang bola keranjang Taman Hill Top, Luyang di sini, yang tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku pada 29 Julai lalu dan satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Luyang untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan menerusi pelbagai tindakan siasatan termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan serta merakam percakapan saksi yang berpotensi, selain mengumpul maklumat risikan bagi mengenal pasti suspek secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, polis turut meningkatkan rondaan cegah jenayah membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota Balai Polis Luyang di sekitar Taman Hill Top dan kawasan tumpuan awam lain di bandar raya ini, terutama pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Balai Polis Luyang di talian 088-253470, Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-221191 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan