"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu ‘tersingkir’ dari PN setelah umum bentuk pakatan baru

MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dianggap terkeluar secara automatik dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila menyatakan hasrat membentuk pakatan baharu sewaktu bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Bersatu tersebut jelas bertentangan dengan Perlembagaan PN.

Beliau berkata, ia menyebabkan keanggotaan Bersatu dalam PN tergugur sendiri tanpa perlu kepimpinan gabungan pembangkang tersebut yang diketuai Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memutuskan apa-apa.

“Bersatu buat kenyataan hendak buat pakatan lain, dengan sendiri automatik terkeluar (dari PN).

“Saya rasa tidak perlu surat (penyingkiran Bersatu secara rasmi) ini, Perlembagaan kita (PN), kalau orang masuk parti lain, keluarlah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu pengumuman calon parti itu dalam PRN Negeri Sembilan pada 17 Julai lalu mengumumkan gabungan politik baharu akan ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Bekas Perdana Menteri kelapan itu, pakatan politik diterajui Bersatu tersebut akan disertai parti-parti politik lain
bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu Pas terbuka untuk menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dari Bersatu yang baru mengumumkan peletakan jawatan dari parti dianggotai mereka.

Mereka ialah ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, Mohd. Zawawi Ismail (Telemong) dan Mohd. Husaimi Hussin (Hulu Besut). – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: