Faiz Zainudin
Sumber berkata perkara itu telah dipersetujui oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Mustapha Nagoor dan Mohd Faizal Ramli dijangka dilantik exco manakala Asna Amin disebut-sebut menjadi speaker DUN Negeri Sembilan.
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mengisi lapan daripada 10 jawatan dalam exco Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar Ismail Lasim, manakala dua lagi diperuntuk kepada Perikatan Nasional (PN).
Sumber berkata formula pembahagian itu dipersetujui kepimpinan kedua-dua gabungan bagi mencerminkan kerjasama mereka dalam pembentukan kerajaan negeri susulan kemenangan pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Kerjasama BN dan PN itu menyaksikannya memenangi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Sumber itu turut menolak dakwaan PN menuntut sejumlah jawatan dalam pentadbiran itu.
“Perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan,” katanya sumber itu kepada FMT.
Menurut sumber itu, Adun Palong Mustapha Nagoor dan Adun Linggi Mohd Faizal Ramli antara yang bakal mengisi jawatan exco bagi BN.
Kedua-duanya menganggotai pentadbiran di bawah Aminuddin Harun pada penggal sebelum ini.
“Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias tidak termasuk dalam senarai,” katanya.
Adun Serting Fairuz Mohd Isa yang juga pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan antara seorang daripada wakil rakyat PN dijangka dilantik exco.
Kesemuanya dijangka mengangkat sumpah esok di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti pagi esok.
Dalam perkembangan berkaitan, jawatan speaker DUN dijangka diisi wakil BN, manakala jawatan timbalan speaker diperuntuk kepada PN sebagai sebahagian daripada persefahaman antara kedua-dua gabungan.
Sumber memaklumkan Adun Lenggeng Asna Amin antara nama disebut-sebut untuk dilantik sebagai speaker kerana pernah menyandang jawatan timbalan speaker.
“Namun, beliau juga berkemungkinan dipertimbangkan untuk mengisi jawatan exco,” kata sumber.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan