Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sedang memburu suspek yang disyaki terbabit dalam satu pergaduhan termasuk seorang pelajar sekolah di tempat awam di daerah Klang Selatan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, ini susulan satu rakaman video tular yang dimuat naik dalam aplikasi Facebook yang memaparkan aksi dua individu sedang bergaduh sambil ditonton oleh sekumpulan lelaki.
"Siasatan pihak polis mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.20 petang di kawasan parkir Kompleks Sukan Pandamaran, pada Jumaat lalu.
"Siasatan mendapati, salah seorang individu adalah seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun, manakala seorang lagi lelaki masih belum dikenalpasti.
"Punca kejadian terbabit masih dalam siasatan dan pihak polis sedang mengesan semua individu yang terbabit dalam pergaduhan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jit Huey berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibh Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai (6) bulan atau denda yang boleh sampai RM 1 ribu atau kedua-duanya
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Baaz Mohd Zohari di talian 016-4117885, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222, atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan