Minderjeet Kaur dan Nur Alif Hazmi
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook melepaskan jawatan pengerusi DAP Negeri Sembilan.
Perkembangan ini berlatarkan kekalahan DAP di DUN Chennah yang beliau pertahankan pada PRN Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Beliau mengumumkan pengunduran ini pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP, malam tadi.
“Saya rasa ini masa terbaik untuk menyerahkan kepimpinan negeri kepada orang lain selepas 22 tahun memegang jawatan ini,” katanya, dan menambah beliau berasa bangga dapat memimpin DAP Negeri Sembilan sejak 2002, menambah wakil rakyat parti itu daripada sekadar dua orang pada 2004 kepada 11 orang pada PRN 2023.
Loke berkata beliau tidak dipaksa untuk melepaskan jawatan ini, dan beliau berundur atas kemahuan sendiri atas rasa tanggungjawab di atas kekalahan di dua kerusi.
Kepimpinan DAP Negeri Sembilan akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mengangkat pengerusi baharu, katanya.
Loke sebelum ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk berundur sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas kalah di Chennah.
Beliau tewas di Chennah kepada calon MCA, Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi pada Sabtu, sekali gus menamatkan khidmat tiga penggal Loke di situ.
Loke sebelum ini berkhidmat sebagai ADUN Lobak dari 2004 hingga 2013, dan mewakili Chennah mulai 2013. Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Seremban selama tiga penggal.
Hadir sama pada sidang media malam tadi, Pengerusi Kebangsaan Gobind Singh Deo, dan Penasihat Lim Guan Eng.
Gobind memberitahu pemberita bahawa CEC sebulat suara mahu Loke kekal sebagai setiausaha agung.
Sementara itu, Loke mengumumkan kongres DAP akan diadakan pada 16 Ogos, dan usul sama ada DAP kekal atau tidak dalam kerajaan akan dibentangkan kepada para perwakilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan