"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa SPRM takut dan lembab untuk seret Ali Rustam dan Khairy ke muka pengadilan?

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat segera Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Khairy Jamaluddin serta berbelas lagi pimpinan Umno berhubung kesalahan politik wang yang disabitkan oleh Lembaga Disiplin Umno beberapa hari lepas., lapor Roy Rasul.

Senator, Mumtaz Mohd Nawi berkata yang salah tetap salah dan tidak perlu lagi dilindungi. Beliau yang dihubungi yakin kesemua mereka yang dijatuhi hukuman itu tentunya didapati bersalah.

"Sepatutnya perkara ini disiasat SPRM. Bagi saya jika SPRM berdiam diri, ia suatu yang tidak kena. Ini kerana Lembaga Disiplin Umno mahu beritahu kepada rakyat bahawa mereka betul-betul hendak menolak politik wang atau rasuah. Jadi kenapa SPRM berpeluk tubuh?" bidasnya.

Kelmarin, Lembaga Disiplin Umno melarang Naib Presiden parti itu yang juga calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding atau dipilih ke jawatan itu kerana mendapatinya terbabit dengan rasuah politik wang.

Keputusan itu dibuat selepas Lembaga Disiplin mendapati Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka, bersalah mengikut Perkara 10.1 Tata Etika Ahli Umno kerana rasuah dan politik wang yang dilakukan ejen beliau.

Turut didapati bersalah calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bersalah mengikut peruntukan yang sama tetapi hanya diberi amaran, sekali gus masih melayakkannya bertanding.

Mumtaz berkata, jika Umno benar-benar serius mahu membanteras rasuah politik wang dalam partinya maka urusan selanjutnya mesti diserahkan kepada SPRM pada kadar segera.

Beliau menyeru SPRM agar membuat satu keputusan menyiasat kes rasuah ini secara telus tanpa rasa takut.

"Kalau Umno yang mengambil alih kuasa SPRM di mana pergi kredibilitinya? Janganlah apabila diberi kuasa, kuasanya itu boleh dipermainkan atau boleh ditarik balik apabila melibatkan Umno," ujarnya.

Malah katanya, kedudukan Ali Rustam sebagai Ketua Menteri harus mengikut jejak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Bawai yang akan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Mneteri dan Presiden Umno penghujung bulan ini.

"Kalau Pak Lah (Abdullah) boleh meletakkan kedua jawatannya, Ali Rustam pun kena berbuat demikian kerana jawatan Ketua Menteri itu hasil daripada keterlibatannya dalam Umno," katanya.

Timbalan Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh pula melihat kes rasuah yang membabitkan pemimpin tertinggi Umno ini tidak memberikan apa-apa kesan jika SPRM menganggap ia bukan di bawah bidang kuasanya.

"Bagi saya SPRM patut membuat tindakan lanjut. Ia sebagai badan bebas berhak untuk menyiasat kes rasuah dan sebagainya tambahan pula ia satu laporan autoriti daripada Umno sendiri."

Beliau berkata, unsur-unsur rasuah sepatutnya dibuat siasatan untuk menunjukkan kerajaan serius berkenaan pembanterasan rasuah. Apatah lagi ia melibatkan orang-orang yang dianggap pemimpin dalam negara.      
http://sanggahtoksago.blogspot.com/

Tiada ulasan: