"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan Pemilihan Umno 2009 Mungkin Dibatal?


   

Keputusan pemilihan Umno yang diadakan hampir sebulan lalu mungkin berhadapan dengan tindakan mahkamah apabila satu perintah mahkamah akan diambil minggu depan bagi memaksa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengambil tindakan terhadap aduan yang dikemukakan kepadanya oleh dua ahli Umno berhubung isu politik wang dan kehadiran perwakilan berstatus bankrap.

Dua ahli Umno tersebut, Datuk Kadar Shah Sulaiman dan Datuk Mazlan Harun, kedua-duanya anak bekas pemimpin parti, membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) 24 Mach lalu terhadap parti mereka sendiri dengan tujuan badan itu mengambil tindakan terhadap Umno berhubung kes politik wang dan larangan bertanding.

Ketika dihubungi TV Antara, Datuk Kadar yang ketika ini berada di Melbourne berkata beliau telah memberi tempoh 30 hari kepada ROS untuk mengambil tindakan berhubung aduannya tetapi setakat ini agensi tersebut seolah-olah tidak mengendahkannya.

"Saya sudah beri masa yang cukup kepada ROS iaitu 30 hari. Semua dokumen dan bukti telah saya kemukakan kepada ROS dalam laporan saya kepada mereka sebulan yang lalu tetapi sehingga kini sunyi sepi.

"Oleh itu demi menjaga keutuhan parti, saya dan Datuk Mazlan akan mengambil perintah mahkamah minggu depan untuk memaksa ROS untuk bertindak ke atas laporan saya itu. Kita akan tengok bagaimana nanti kesudahannya," kata beliau.

Sekiranya mahkamah memerintah ROS supaya bertindak berhubung laporan Datuk Kadar kemungkinan semua keputusan pemilihan Umno Mac lepas dan persidangan parti boleh dipertikaian dan terbatal jika terdapat bukti dan asas yang kukuh.

Selain aduan rasuah dan politik wang, Datuk Kadar dan Datuk Mazlan juga mendakwa terdapat perwakilan yang berstatus muflis dibenarkan menghadiri serta mengundi pada pemilihan Umno bulan lepas.

"Kami buat ini kerana sayanghkan parti. Kami tidak mahu Umno mengamalkan dua peraturan yang berbeza hanya kerana ia parti pemerintah" kata Kadar Shah merujuk sambil kepada tindakan Lembaga Disiplin Umno terhadap kes rasuah dan politik wang yang dianggap pilih kasih dan pendakwaan selektif.

Datuk Kadar dan Datuk Mazlan Harun melakukan kejutan tahun lepas apabila membuat dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), berkaitan pelan peralihan kuasa di antara Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Najib Razak.

Seperti yang dijangka semua laporan dan aduan berhubung salah laku dalam Umno oleh ahlinya sendiri tidak diberi perhatian malah pihak parti membisu seribu bahasa.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: