Tidak dapat dinafikan tidak pernah terjadi sebelum ini pemilihan pimpinan di dalam PAS menjadi begitu panas dan hangat. Penglibatan ramai tokoh-tokoh PAS bertanding adalah menjadi salah satu faktor pemilihan kali ini disertai dengan kempen secara terbuka mahu pun secara sulit. Persoalannya, adakah berkempen merupakan satu kesalahan di dalam PAS? Jika jawapannya salah, maka sukar untuk difahami apakah PAS sebuah parti yang mendukung demokrasi atau pun tidak. Saya percaya PAS menjunjung demokrasi tetapi jauh lebih baik dan mulia daripada cara Umno mempraktikkan demokrasi dalam parti mereka.
Di dalam pemilihan kali ini, jawatan Timbalan Presiden PAS dan juga Naib Presiden adalah dua jawatan yang begitu panas dan hangat. Kesemua tokoh-tokoh yang bertanding adalah hebat-hebat belaka serta mempunyai kredibiliti masing-masing. Mereka mempunyai akhlak yang baik, berpengetahuan agama meski pun terdapat di dalamnya bukan golongan Ulamak, dan tidak pernah mempunyai rekod yang buruk. Maka, sudah tentulah menjadi masalah kepada perwakilan yang bakal mengundi untuk memilih siapa yang layak menduduki kerusi bagi jawatan-jawatan tersebut. Anehnya, pemilihan kali ini juga menarik minat Umno bahkan dikatakan Umno meminati tokoh-tokoh tertentu dan berharap agar tokoh yang diminatinya itu berjaya menduduki kerusi penting PAS ini nanti. Terdapat juga beberapa tokoh yang amat ditakuti oleh Umno dan usaha dikatakan sedang berjalan untuk menentukan tokoh tersebut tersungkur kali ini. Begitulah hebatnya PAS sekarang, bukan seperti PAS di zaman Almarhum Ustaz Asri mahu pun di zaman Almarhum Hj Yusof Rawa. Plan kehebatan PAS mula dilihat ketika era Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan plan tersebut diikuti jalannya oleh Presiden PAS sekarang Tuan Guru Hj Hadi Awang. Terdapatkah usaha untuk mengubah plan yang terbentuk cantik itu?Saya terbaca satu komen di dalam sebuah blog yang kelihatan amat seperti bersusah hati melihat suasana kempen di dalam PAS sekarang. Saya tidak faham kenapa mereka yang seperti ini amat gusar dengan keadaan yang berlaku. Apa yang paling menggusarkan kita sekiranya kempen yang dilakukan berjalan dalam suasana tidak baik, tidak beretika dan tidak bermoral seperti yang dilakukan oleh pihak lawan kita itu. Bagi saya semua ahli PAS wajib mengetahui mengapa mereka memilih pemimpin anu dan si anu itu kerana jika dilihat ketokohan mereka sama-sama hebat begitu juga dengan akhlak dan moral masing-masing. Beza di antara pemimpin-pemimpin tersebut mungkin dari segi pendekatan masing-masing untuk merealisasikan PAS sebuah parti yang disegani, ditakuti serta releven untuk semua golongan rakyat di negara ini. Tidak ada seorang pun jika kita lihat di dalam senarai calon-calon PAS yang bertanding itu menolak dasar PAS. Jadi, apa perlunya kita bimbang jika kempen dilakukan semata-mata untuk menyatakan wawasan dan corak yang akan mereka bawa agar tidak lari dari dasar PAS? Jika tidak adanya kempen, sudah tentu ahli-ahli PAS tidak tahu apakah wawasan dan kaedah yang ingin dibawa oleh pemimpin berkenaan.
Cara pemilihan zaman dahulu kala sewajarnya patut dilupakan ketika PAS sekarang semakin dekat dihati rakyat. PAS perlu bergerak di dalam berbagai cara asalkan tujuannya satu iaitu untuk menegak dan mendaulatkan Islam di negara ini. Jika suatu ketika dahulu pemimpin PAS hanya dipilih berdasarkan watak keperibadian, ilmu agamanya, akhlak dan moral tetapi kini PAS mempunyai ramai pemimpin seperti itu. Kriteria untuk menjadi pemimpin PAS harus ditambah selari dengan kekuatan PAS sekarang. PAS perlu kepada pemimpin yang sentiasa menjaga hubungan rapat dengan rakan-rakan pembangkang yang lain tetapi jangan sampai mengenepikan dasar PAS. Sebagai contoh, Husam Musa dikatakan adalah seorang dari pemimpin yang pro DS Anwar dan pro Pakatan Rakyat, tetapi secara jelas, terang dan nyata Husam Musa tegas menetapkan pendiriannya bahawa Islam akan tetap ditegakkan jika PAS berkuasa (rujuk perdebatan Husam - Khairy di Kelantan). Lupakan berkaitan isu `Erdogan' di dalam PAS. Saya tertarik dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz di dalam memperkatakan isu `Erdogan' ini (Rujukhttp://wfauzdin.blogspot.com/2009/06/edogan-dalam-pas-boleh-kalahkan-umno.html)
Pada saya kempen yang berlaku di dalam PAS sekarang akan lebih mendewasakan PAS. PAS tidak lagi digelar parti yang jumud dan tidak berubah untuk berbuat sesuatu bagi mencapai impiannya. Apa yang kita lihat kempen yang dikatakan `kotor' yang telah berlaku di dalam PAS sekarang sebenarnya tidak wujud. Yang wujud hanyalah kempen yang dilakukan oleh pihak lain melalui media alternatif yang kita tidak tahu apakah tujuannya. Saya dapat mengenalpasti seorang penulis politik (tidak perlu disebut nama) yang terlalu aktif di dalam kempennya untuk memenangkan tokoh kesukaannya sehinggakan sanggup menjaja cerita yang bukan-bukan. Saya percaya itu bukan cara calon-calon PAS berkempen, tetapi kita harus mengenali penulis seumpama ini. Penulis haprak seperti itu hanya layak menulis karya mereka semasa Perhimpunan Agung Umno sahaja.
W.FAUZDIN NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan