"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tubuh badan bebas siasat tragedi stadium - Mustafa Ali

Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 3 Jun (Hrkh)- PAS Terengganu menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat terhadap tragedi keruntuhan bumbung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini, semalam.

Pesuruhjayanya, Dato' Mustafa Ali berkata kerajaan negeri perlu menyiasat dan tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak SPRM.

Kebiasaan, katanya sebarang kerosakkan yang berlaku dalam tempoh yang awal kemungkinan tidak mengikut 'spesisikasi'.

"Saya syaki semacam ada penyelewengan dan siasatan yang telus harus dilakukan oleh pihak yang mempunyai kredibeliti secara professional,"tegasnya kepada Harakah.

Beliau turut mempersoalkan mengenai kelulusan 'CF' sama ada lulus atau tidak oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab tersebut.

Ini kerana, katanya projek pembinaan stadium berkenaan sejak dari awal lagi telah dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk PAS.

"Saya rasa sangsi sama ada 'CF' dia (stadium) lulus atau tidak. Kita (PAS) bimbang perakuan CF tidak dibuat tetapi Stadium itu digunakan juga sehingga berlaku keruntuhan," ujarnya.

Menurutnya, satu jawatankuasa atau badan bebas wajar ditubuhkan bagi menyiasat serta mencari punca keruntuhan bumbung tersebut.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dirasmikan oleh Tuanku Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 tahun lalu.

Stadium berkenaan berharga RM280 juta merupakan sebahagian dari Kompleks Sukan Gong Badak yang bernilai RM543 juta.

Ianya, telah digunakan pertama kalinya pada penganjuran Sukan Malaysia 2008 (SUKMA XII Terengganu) yang bermula 31 Mei hingga 9 Jun 2008 dan mengalami tragedi keruntuhan bumbung 'grand-stand' pada pagi semalam.


Tiada ulasan: