"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar PAS 55 : Pemuda bertekad 'bersihkan' Lorong Haji Taib

Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Ibu Kota Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad mengharapkan agar misi lajnah untuk menghapuskan 'pencemaran lubuk maksiat' di Lorong Haji Taib berdekatan dengan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak termasuk lajnah-lajnah lain.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab persoalan yang dikemukakan perwakilan sewaktu sesi membentang dan membahas Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan berakhir Disember 2008.

"Kita berdepan dengan pelacur dan penagih yang mencacatkan pemandangan di sekitar Jalan Raja Laut. Kenyataan yang kita perlu faham ialah mereka mengharapkan kita memberi mereka pendidikan. Kita sudah mengadakan tiga perjumapaan dengan persatuan pelacur ini.

"Kita telah mengambil pendekatan dan memberi nasihat kepada mereka. Kita bertanyakan mereka adakah kerana mereka tersepit sehingga terlibat dengan gejala tidak sihat itu. Rata-rata di kalangan mereka menyatakan mereka terlibat atas kemahuan dan kerelaan mereka," jelasnya

Sehubungan itu katanya, pihak lajnah telah bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pemadam supaya satu operasi dilakukan untuk 'membersihkan' kawasan tersebut.

"Jadi apa yang kita semua maklum, polis tetap bawah Umno yang bercakap tidak serupa bikin. Sehingga kini pihak berwajib ini tetap tidak mengambil tindakan.

"Jika ke Pejabat Agung, kita dijamu dengan pemandangan ini. Sehingga hari ini kita masih belum dapat laksanakan isu besar ini. Insya-Allah apabila kita memerintah nanti kita akan hapuskan gejala ini," katanya yang disahut laungan takbir di kalangan perwakilan.

Dalam pada itu, menjawab persoalan perwakilan kenapa aktiviti Lajnah Ibu Kota tidak terlibat di ibu kota lain, jelas Kamaruzzaman, beliau dimaklumkan tumpuan lajnah tersebut hanya di Lembah Klang.

Justeru beliau mengharapkan skop bagi lajnah tersebut akan dibuat dengan lebih tersusun di seluruh negara.


Tiada ulasan: