"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Lulus Usul Lantik Badan Penyiasatan Bebas Kes Altantuya


Muktamar PAS ke-55 hari ini meluluskan usul mendesak Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri, Datin Rosmah Mansur membersihkan nama mereka dengan mengambil tindakan saman malu terhadap mereka yang mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan model Mongolia , Altantuya Saribbu.

Usul yang dibawa oleh Dewan Pemuda PAS itu juga memohon kepada Yang Dipertuan Agong supaya memperkenankan perlantikan badan penyiasatan bebas terhadap kes pembunuhan model berkenaan.

Dalam pada itu, Muktamar PAS yang bersidang hari ini di Stadium Malawati, Shah Alam meluluskan usul menggesa Pakatan Rakyat untuk mewujudkan system saringan bersama untuk memilih calon-calon pilihanraya yang berkelayakan.

Selain itu, Dewan Pemuda juga mencadangkan supaya satu formula baru dibuat bagi menentukan kuota calon pilihanraya yang sesuai dengan keperluan semasa.

Mengenai usul kepimpinan, pihak majlis syura dan dewan ulama mengambil inisiatif melahirkan ulama-ulama pelapis serta memfokuskan pembinaan keupayaan dalam pelbagai disiplin ilmu, termasuk ilmu siasah dan pengurusan.

Muktamar juga membuat ketetapan supaya pimpinan PAS Pusat, negeri, kawasan dan ahli menumpukan usaha membina kekuatan parti, bukan merosakkan parti atau memecah belahkan parti dengan label-label seperti kumpulan pro-muzakarah, pro-pakatan dan kumpulan erdogan.

Muktamar juga meluluskan tanpa bahas PAS kawasan Shah Alam, Jerlun dan Hulu Selangor demgan membuat ketetapan untuk mengekal dan melebarkan kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU-13 demi menegakkan syiar islam.

PAS juga akan berusaha mewujudkan struktur organisasi yang berdaftar atas nama Pakatan Rakyat sebagai alternatif atau pengganti kepada Barisan Nasional bagi menerajui kepimpinan Negara.

Dalam usaha menawan kawasan parlimen pada PRU-13, muktamar meluluskan usul mendesak PAS Pusat merangka strategi yang berkesan bagi merampas sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen di kawasan luar Bandar, meliputi kawasan Felda di Pahang, Johor, Perak dan Terengganu.

Mengenai pergerakan Sister In Islam (SIS), Muktamar mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Muktamar PAS 2009 juga meluluskan usul Dewan Muslimat untuk mendesak Kementerian Kesihatan menghapuskan pembayaran rawatan penyakit kronik kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: