"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

P'raya Negeri S'wak, PAS Janjikan Kejutan

Abdul Rahim Sabri
PAS akan membuat beberapa kejutan dengan mengemukakan "pendekatan baru" dalam kempen pilihanraya kecil negeri Sarawak bagi mencapai kemenangan, kata Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa.

"Ia merupakan satu lontaran kepada masyarakat Malaysia bagaimana PAS sebagai sebuah organisasi politik yang dilihat beredar mengikut zaman dan masa," katanya.

pas wanita muslimat muktamar agm 55 040609 05Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, di Shah Alam.

Nasharuddin berkata, sekurang-kurangnya, terdapat "dua perkara besar" yang akan diumumkan sempena pilihanraya negeri negeri di Sarawak sebagai tapak untuk parti itu maju ke hadapan.

Bagaimanapun, dalam ucapannya itu, Nasharuddin tidak menyatakan kejutan yang dimaksudkan.

"Kejutan apa... tunggu sikit masa lagi, " kata beliau yang juga ahli Parlimen Bachok.

Sementara itu, dalam sidang media kemudiannya, Nasharudin berkata kejutan tersebut merupakan pendekatan yang akan digunakan dalam kempen pilihanraya negeri di Sarawak.

Bertanding di Sarawak


Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan lebih lanjut perdekatan tersebut walaupun berkali-kali didesak oleh wartawan.

Katanya, masih terlalu awal untuk diumumkan kerana pilihanraya negeri Sarawak belum ditentukan tarikhnya.

Pilihanraya negeri itu diramal diadakan pada tahun hadapan.

pas wanita muslimat muktamar agm 55 040609 06Menurut Nasharuddin lagi, pernyertaan PAS di pilihanraya di Sarawak bukan perkara baru kepada parti itu.

Ini kerana, dalam pilihanraya sebelum ini, PAS pernah bertanding di beberapa DUN Sarawak, termasuk di Batang Saadong.

Ditanya sama ada ia mendapat persetujuan rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, Nasharudin berkata, perkara itu telah dibincang di peringkat jawatankuasa PAS Pusat.

Institusi kekeluargaan Islam

"Seperti biasa, dalam mana-mana dalam pilihanraya yang melibatkan rakan dalam Pakatan, kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan dasarnya, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh menyokong sepenuhnya setiap keputusan Majlis Syura Ulama dalam menangani cabaran politik tanahair seperti konsep Tahaluf Siyasi (kerjasama politik).

Dalam ucapan yang bertemakan "Menyemarak Kemenangan, Menyatu Rakyat", Nuridah turut menyentuh peranan Muslimat untuk mengatasi masalah keruntuhan rumah tangga.

"Dewan Muslimat PAS sangat prihatin terhadap masalah yang menimpa institusi keluarga khususnya umat Islam.

"Kadar penceraian yang tinggi dan sangat mencemaskan, menunjukkan penyakit kronik sedang menimpa institusi keluarga," katanya.

Sehubungan, Nuridah menegaskan institusi keluarga mestilah dikembalikan peranan asalnya iaitu "melahirkan dan membina ummat yang memperjuangkan kehidupan yang diredai Allah".

'Tahanan tanpa bicara'

Kata Nuridah lagi, Dewan Muslimat juga sedang berusaha untuk menubuhkan pusat khidmat bersepadu di semua peringkat parti bagi membolehkan masyarakat berbilang kaum mendapat pelbagai khidmat mengikut kemampuan parti tersebut.

pas wanita muslimat muktamar agm 55 040609 04Menyentuh mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pihaknya mengulangi ketegasan bahawa akta tersebut mesti dimansuhkan segera.

Ini kerana, kata Nuridah, akta tersebut tidak memberi peluang kepada tahanan untuk membela diri, termasuk penderitaan yang ditanggung oleh isteri mangsa.

"Sesungguhnya, tiada penjara tanpa bicara dalam Islam. Keadilan Islam memberikan hak kepada yang dituduh untuk membela diri," kata.

Mengenai pilihanraya kecil DUN Manek Urai 14 Julai ini, Nuridah mengingatkan perwakilan supaya mempertingkatkan usaha mengekalkan kawasan tersebut yang merupakan kubu kuat PAS.

"Walaupun dikatakan bahawa Manek Urai adalah kubu kuat PAS, tetapi kita mestilah bersiap siaga bagi mempertahankannya," katanya.

Beliau juga menyarankan agar Kelab Penyokong PAS diberikan peranan yang lebih besar bagi meraih dan mengekalkan sokongan mereka terhadap PAS.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: