"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu-isu Kontroversi Menjelang Muktamar Agung PAS Ke-55 - YB KHALID SAMAD

SHAH ALAM: Lanjutan dari asas pemilihan pimpinan yang saya nyatakan tempohari, bersama ini dikemukakan pula beberapa persoalan agar dapat difikirkan bersama oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang ke 55.

1. ISU MAKLUMAT JUMLAH PENCALONAN

Jumlah pencalonan bagi calon-calon dimaklumkan kepada calon tetapi tidak kepada media. Namun media mendapat tahu jumlah pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden. Secara terbuka ianya dimaklumkan bahawa Ust. Nasharuddin telah mendapat 60% dari keseluruhan jumlah pencalonan. Maklumat ini sepatutnya hanya diketahui oleh calon sendiri dan jawatankuasa pemilihan. Cikgu Pa telah menafikan bahawa maklumat ini didedahkan oleh pihak beliau. Oleh itu, adakah ini bermakna ianya dibocorkan oleh Ust Nasharuddin atau orang-orang yang hampir dengannya? Lebih penting lagi, adakah maklumat ini benar atau sekadar propaganda?

Apakah tujuan disebalik dakwaan ini? Adakah ianya bertujuan sebagai kempen untuk mempengaruhi cara pemilihan perwakilan kelak?

Dato’ Dr. Harun Din menegaskan bahawa Ust Nasharuddin terbukti pilihan pihak grass-root. Ini di tegaskan melalui Sinar Harian pada 30/5 dan dengan itu memberikan gambaran bahawa Ust Nasharuddin adalah semestinya pilihan perwakilan. Adakah ini juga boleh dianggap sejenis kempen? Adakah Dato' Dr. Harun Din betul dengan menganggap maklumat ini tepat?

Hakikatnya pencalonan dan pemilihan adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang telah meletakkan ‘incumbent’ atau yang sedia ada dan tidak memikirkan soal calon alternatif sehinggalah calon alternatif itu diadakan untuk difikirkan oleh mereka. Sekarang, apabila dikemukakan nama-nama Mat Sabu dan Husam, perwakilan akan memikirkannya secara lebih serius berhubung pilihan mereka.

Kedua, kesediaan calon-calon alternatif untuk bertanding tidak disahkan sehingga saat-saat terakhir. Pada masa itu, banyak dari kawasan-kawasan telah selesai bermesyuarat. Kawasan-kawasan ini telah menyerahkan pencalonan mereka dan mereka tidak tahu akan kesediaan seseorang calon ‘baru’ untuk bertanding dan sebab-sebab mengapa mereka sanggup bertanding. Apabila ianya diketahui, ianya terlewat kerana mereka telahpun menyerahkan pencalonan mereka.
Atas dua sebab di atas, maka jumlah pencalonan tidak sepatutnya mempunyai kesan secara muktamad seperti yang telah digembar-gemburkan. Pemilihan haruslah terus dilakukan berdasarkan kriteria calon yang bertanding untuk menentukan siapa pemenang sebenar.

2. ISU PERLUNYA ULAMA’ UNTUK JAWATAN TP

Persoalan ini juga telah mendapat perhatian media. Untuk julung-julung kalinya artikel-artikel yang disiarkan Utusan Malaysia menyokong pandangan-pandangan TG Daud Iraqi dan Dato’ Dr. Harun Din yang berpendapat bahawa jawatan TP mesti dipegang oleh seorang ulama'. Namun perlembagaan jelas dan konsep kepimpinan ulama’ pun jelas dan tidak mungkin dapat diselewengkan.

Persoalannya sekarang, mengapa semasa Cikgu Pa bertanding melawan Ust. Hassan Syukri untuk jawatan TP hujjah ini tidak pula dikemukakan? Pada masa itu hujjah yang melemahkan kedudukan Cikgu Pa adalah bahawa beliau, seperti TG Hj. Abdul Hadi Awang adalah dari Terengganu. Tidak wajar kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden dari negeri yang sama. Itu sahaja! Tidak timbul persoalan “Kepimpinan Ulama’ yang mewajibkan jawatan TP disandang oleh seorang yang digelar ulama’ sahaja".

Adakah hujjah ini dikemukakan oleh kerana peribadi yang bertanding tidak disukai oleh beberapa pihak tertentu? Sekiranya begitu, tidak seharusnya konsep kepimpinan ulama diputar-belitkan sedemikian rupa. Sekiranya Cikgu Pa dibenarkan bertanding dulu dan pencalonannya dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian dan kemampuannya untuk berkhidmat kepada parti, maka begitu juga dalam kes pencalonan Mat Sabu dan Husam.

3. ISU ‘ERDOGAN’ DAN ‘WALA’ KEPADA ANWAR’

Mengapa isu ini muncul pada ketika PAS sibuk dengan persoalan muzakarah dengan Umno? Mereka-mereka yang menolak amalan ini segera dilabel ‘Erdogan’ serta ‘pengikut Anwar’ dan Majlis Syura Ulama’ diheret ketengah perbalahan ini untuk melindungi tindakan muzakarah, sepertimana Raja Perak diheret ketengah untuk melindungi tindakan Umno di Perak!

Hakikat bahawa ‘muzakarah’ telah berlangsung lama sebelum Majlis Syura bersidang diketahui umum dan saya sendiri yang hadir pada pertemuan 10 Mac 2008, iaitu 2 hari selepas berlangsungnya PRU ke 12, boleh secara peribadi mengesahkan bahawa ianya bertujuan untuk merundingkan kerajaan campuran PAS-Umno/BN di Negeri Selangor.

Adalah dikhuatiri adanya golongan tertentu yang bersetuju dengan konsep kerjasama PAS-Umno dan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melindungi tindakan yang tidak diterima, malahan ditolak, oleh kebanyakan perwakilan di muktamar PAS di Ipoh. Kuatnya kehendak mereka dizahirkan melalui cara bagaimana mereka berserbu ke Kelate bertemu TGNA dan akhirnya mengasak TGNA sehingga beliau seolah-olah menyatakan “kalau teringin sangat sekalipun, biarlah Muqabalah, bukan muzakarah!”. ‘Muqabalah’ bererti bersemuka untuk menyatakan pendirian kita sahaja, iaitu Islam, bukan untuk berunding.

Sama-sama kita fikirkan persoalan-persoalan ini dan semoga Allah SWT membimbing kita untuk membuat pilihan yang tepat demi masa depan perjuangan Islam di Malaysia.

WaLlahu ‘Alam
Oleh YB KHALID SAMAD

Tiada ulasan: