"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesuruhjaya perlu dipilih oleh Presiden - Hasan Ali

Roy Rasul

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato Hasan Ali berkata peranan setiap pesuruhjaya negeri yang dilantik Presiden PAS adalah sebagai wakil kepada presiden.

Oleh itu, katanya biarlah pesuruhjaya tersebut dipilih sendiri oleh presiden sebagaimana ditetap dalam perlembagaan parti.

Katanya, yang ditemui Harakah selepas mengadakan satu sidang media di Stadium Malawati, petang tadi, sememangnya dua-dua cara iaitu dipilih presiden atau PAS kawasan boleh berlaku dan ia boleh diterima beliau.

Khamis lepas, Dewan Pemuda PAS Pusat meluluskan usul jawatan pesuruhjaya dipilih oleh PAS kawasan bukannya presiden.

Usul tersebut dicadangkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dalam Muktamar Pemuda PAS ke-50 di Taman Melewar, Gombak, diputus untuk dibawa ke Muktamar Tahunan PAS ke 55 yang sedang berlangsung di Stadium Malawati.

Bagaimanapun ujar Hasan, disebabkan pesuruhjaya menjadi wakil kepada presiden biarlah ia dipilih presiden.

"Siapa yang difikir boleh bekerja dengan presiden itulah orangnya," katanya.

Beliau berkata, misalnya kawasan memilih dan beliau pula tidak sesuai dengan cara presiden bekerja pastinya ada halangan di situ.

"Tetapi kalau misalnya presiden pilih, pesuruhjaya itulah sebagai presiden.

"Dan kalau saya jadi presiden pun takkanlah saya hendak bekerja dengan orang yang saya tak kenal dan orentasinya pun tak boleh diterima pastinya asyik bertegang saja.

"Bayang tiga belas negeri bertegang saja akhirnya terlalu banyak pilitiking di peringkat rendah dan ini merosakkan kekukuhan parti," katanya.

Apapun katanya, jika perwakilan mahu serahkan kuasanya di tangan kawasan beliau tidak ada banyak bangkangan.

Bagaimanapun katanya oleh kerana, dalam perlembagaan mengatakan pesuruhjaya itu bekerja dengan presiden bagi mentadbir PAS di peringkat negeri seharusnya orang itu harus selesa dengan presiden dan presiden juga selesa dengannya maka jawatan itu perlu dipilih oleh presiden.


Tiada ulasan: