"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar PAS 55 : PAS akan tetap laksanakan agenda Islamnya

Intan Abdullah

SHAH ALAM, 4 Jun (Hrkh) - Tempoh setahun yang dilalui sudah cukup memberikan kefahaman kepada PAS untuk terus bergerak dengan lebih perkasa, keyakinan yang lebih tinggi, kebijaksanaan yang lebih matang untuk meneruskan amanah yang diberikan, sesuai dengan janji dan manifesto pilihan raya yang dilafazkan semasa berkempen secara jamaie atas tiket PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi berkata, walaupun terdapat di antara ahli dan penyokong PAS menyatakan rasa tidak sabar mereka terhadap perlaksanaan dasar Islam dalam pemerintahan di negeri yang diterajui Pakatan Rakyat, ianya akan tetap dilaksanakan kerana masih belum terlambat.

"PAS Pusat telah membentuk Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pihak yang akan membantu PAS di peringkat negeri melaksanakan Islam dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kesesuaian setempat, tidak dapat dinafikan suasana antara negeri-negeri di Malaysia agak berbeza sesuai dengan ciri-ciri Islam yang murunah atau fleksibel," ujarnya dalam ucapan Dasar Ketua Dewan Ulamak pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48 hari ini.

Ujarnya lagi, kadang-kadang sesetengah daripada ahli dan aktivis PAS lupa yang PAS menjadi kerajaan dan bukan lagi pembangkang, walaupun begitu masih mempunyai bidang kuasa kita terhad, bukannya bebas.

"walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat, sehingga para penyokong dan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya," ujarnya.


Tiada ulasan: