KUALA LUMPUR: PAS Kelantan mengalu-alu cadangan pimpinan Umno untuk tidur di rumah orang-orang kampung dan turut menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama penduduk di Manek Urai, lapor Roy Rasul.
Ini kata Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri, Wan Ubaidah Wan Umar tindakan mereka itu sekaligus dapat menyelami perasaan rakyat dan cara hidup rakyat yang susah selama ini.
Bagaimanapun ujarnya, pendekatan yang dilakukan Umno itu jangan hanya dibuat empat tahun sekali atau semasa kempen pilihan raya kecil baru hendak bagi kain pelikat dan menyuap nasi ke mulut rakyat.
Walhal katanya, apa yang dirancang oleh Umno itu, sudah lama dilakukan PAS. Beliau berkata, PAS selama-lamanya bersama rakyat bahkan berkebun, menoreh menjadi kebiasaan bagi parti itu.
"Baguslah jika Umno hendak buat macam itu kerana PAS memang selamanya bersama rakyat jadi program yang dibuat pun untuk rakyat," katanya yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan.
Di Kota Bharu, Isnin lepas, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, dipetik sebagai berkata, bagi memenangi hati masyarakat di peti undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam pilihan raya kecil pada 14 Julai ini jentera Barisan Nasional (BN) harus turut sama turun padang dan merasai sendiri susah senang masyarakat setempat.
Katanya, mereka akan tidur di rumah orang kampung dan turut sama menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama masyarakat di sana.
Ubaidah ketika mengulas perkara itu berkata, terpulang kepada pengundi di Manek Urai untuk membuat pertimbangan mengenai cara Umno itu. Namun beliau yakin pengundi di Manek Urai tidak mudah terpengaruh kerana PAS sentiasa bersama mereka. Malah bidasnya pendekatan Umno itu menampakkan mereka selama ini tidak pernah turun bersama rakyat sebagaimana yang dilakukan oeh PAS selama ini.
"Program PAS untuk bersama rakyat tidak perlu menunggu pilihan raya. Kami buat program sepanjang masa umpamanya mengadakan proram qiamullail dan sebagainya," katanya. Oleh kerana itu katanya, PAS tidak mengalami apa-apa masalah untuk mendekati rakyat dan budaya tersebut bukan satu kejutan atu benda baru bagi PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan