"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayaran pendaftaran RM50 ringgit dimansuhkan serta merta

Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM, 3 Jun (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka, Iskandar Abdul Samad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri kerana memansuhkan bayaran RM50 serta merta.

Menurut beliau, bayaran tersebut merupakan wang pendaftaran yang dikenakan kepada setiap pengusaha pasar malam dalam kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Sebagai Adun Chempaka saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk meringankan beban peniaga dengan memansuhkan bayaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, masalah yang dihadapi oleh para peniaga di Ampang Jaya telah dibangkitkan dalam mesyuarat exco hari ini dan mesyuarat telah bersetuju agar pembayaran ini dimansuhkan serta merta.

"Pengurus pasar malam pula akan mengadakan perbincangan dengan MPAJ berkenaan dengan kos pengurusan dan pentadbiran mereka berikutan pemansuhan ini.

"Saya berharap pemansuhan ini akan memberi memberi manfaat kepada semua pihak di Selangor," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah membuat keputusan untuk memansuhkan bayaran pendaftaran sebanyak RM50 kepada pengusaha pasar malam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor hari ini membatalkan serta merta bayaran tapak sebanyak RM50 terhadap peniaga pasar malam di seluruh negeri ini.

Katanya, peniaga yang sudah membuat pembayaran itu akan menerima kembali wang mereka secepat mungkin.


Tiada ulasan: