Hang tengok lah si Brahim kataki ni. Dengan penuh perasaan dia melekatkan keris kat hidung dia. Hang tengok pulak riak muka Che Det yang kat sebelah dia…agaknya apalah yang Tun ni fikirkan bila tengok katak sangap ni cium besi leper tu? Bodoh piang punya Brahim ali!.
Baru-baru ini orang asal (orang asli) telah membuat kejutan dengan berdemonstrasi di Putrajaya, tujuan mereka adalah untuk menghantar memorandum berkaitan permasalahan pemilikan tanah mereka. Dalam keramaian orang itu, dalam foto-foto yang disiarkan, saya mencari kelibat seseorang tetapi hampa kerana tiada berjumpa.
Kelibat manusia yang saya cari adalah Ibrahim Ali, maklumlah, katanya dia Presiden PERKASA, atau nama panjangnya Pribumi Perkasa Negara. Walaupun seperti kata Zaid Ibrahim, orang asal tidak termasuk dalam kategori bumiputera atau pribumi mengikut Perlembagaan Persekutuan, tetapi hakikatnya mereka memang pribumi, mereka memang bumiputera. Bukankah orang asal dan pribumi itu membawa maksud yang sama?
Jadi, bila orang asal berdemonstrasi bagi menuntut hak mereka, saya mengandaikan Ibrahim Ali selaku Presiden Pribumi Perkasa Negara akan turut hadir dengan membawa seluruh kekuatan armada PERKASA bagi menunjukkan sokongan. Rupanya tidak, rupanya tidak ada, serupa juga, saya yakin Ibrahim Ali dan PERKASA tidak akan muncul jika yang berdemonstrasi itu dari kaum Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Dayak, Penan dan sebagainya.Rupanya PERKASA bukan untuk pribumi, PERKASA hanya untuk Melayu. Jangan salah tanggap, bukan Melayu seperti saya! PERKASA bukan sekadar sebuah pertubuhan bukan kerajaan, PERKASA adalah kumpulan pelobi ketuanan Melayu dengan dipimpin oleh kumpulan nasionalis ultra-kanan Melayu. Dari segi sifatnya, kewujudan PERKASA hampir menyamai kewujudan Ku Klux Klan di Amerika Syarikat, cuma PERKASA dalam beberapa kenyataannya sebelum ini kelihatan tegas tidak merestui sebarang aktiviti keganasan seperti Ku Klux Klan.
Ibrahim Ali, jangan saman dahulu, mari kita bersama cuba menyusuri sejarah dan mencari rasional kemungkinan persamaan ini.
Ku Klux Klan ialah kumpulan ultra kanan yang memperjuangkan ketuanan bangsa kulit putih – Protestan di Amerika Syarikat. Kewujudannya dikesan seawal tahun 1865, diasaskan oleh veteran tentera konfederasi dari Tennesee. Pengwujudannya dikatakan bertujuan bagi mengembalikan ketuanan bangsa kulit putih selepas tamatnya Perang Saudara Amerika.
PERKASA pula ditubuhkan selepas UMNO, parti politik terbesar orang Melayu yang memimpin Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 dikejutkan dengan kekalahan di lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan serta kehilangan penguasaan dua pertiga di Parlimen.
Kalau Ku Klux Klan melihat ketuanan bangsa kulit putih – Protestan tergugat selepas Perang Saudara Amerika, PERKASA pula melihat kononnya Melayu tergugat pasca Pilihanraya Umum 2008. Lebih dari itu, PERKASA secara terbuka di bahagian latar belakang penubuhan dalam laman web rasminya menganggap kompromi antara kaum sebelum merdeka adalah satu kompromi paksaan. Secara spesifiknya saya boleh nyatakan yang kompromi ini adalah antara bapa-bapa pengasas negara kita iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman, Mendiang Tan Cheng Lock dan Mendiang V. Sambathan.
Ku Klux Klan pada kemunculan kali keduanya iaitu pada tahun 1915 hadir dengan lebih formal, dengan struktur persekutuan dan negeri. Ini biasanya struktur parti politik, tetapi PERKASA juga hadir dengan struktur yang sama. Melihat kepada syarat keahliannya yang longgar, PERKASA seperti juga Ku Klux Klan wujud lebih sebagai organisasi fraternal atau persaudaraan, persaudaran Melayu atau Malay brotherhood untuk PERKASA dan White brotherhood untuk Ku Klux Klan.
Pada tahun 50-an dan 60-an, wujud pula kumpulan-kumpulan bebas di Amerika Syarikat yang menggunakan nama Ku Klux Klan dalam penentangan mereka terhadap Pergerakan Hak Sivil dan penghapusan perbezaan kaum. Sekali lagi merujuk kepada bahagian latar belakang penubuhan PERKASA di laman web rasminya, PERKASA juga secara jelas memusuhi pejuang hak sivil dan penghapusan perbezaan kaum yang diistilahkan sebagai penganut pemikiran global dan universal, dan jika pejuang hak sivil serta penghapusan perbezaan kaum ini hadir dari kalangan orang Melayu sendiri, bagi PERKASA mereka adalah talibarut penjajah (entah penjajah mana…).
Disebabkan ini juga dapat kita lihat banyak kritikan yang dilemparkan oleh PERKASA secara rasminya atau melalui Presidennya, Ibrahim Ali, terhala kepada PKR atau terus kepada Anwar Ibrahim yang diwar-warkan sebagai penganut faham liberal demokratik.
Memang benar, tidak seperti Ku Klux Klan, PERKASA tidak menaja aktiviti keganasan. Tulisan inipun bukan mahu melihat persamaan pendekatan dari segi tindakan, tetapi lebih kepada sifat dan bentuk pertubuhan. Ku Klux Klan dikategori sebagai hate group iaitu kumpulan atau pergerakan terancang yang mempromosi kebencian, permusuhan atau kekerasan terhadap ahli kepada kaum, etnik, agama, jantina, orientasi seksual atau sektor-sektor tertentu yang lain dalam masyarakat. Apakah PERKASA tidak termasuk dalam kategori ini, berdasarkan kenyataan dan ucapan-ucapan pemimpinnya?
Tanpa keganasan dan kekerasan pun, PERKASA telah terbukti melemparkan salam kebencian dan pertentangan yang membahayakan. Ini terbukti dengan cuplikan seruan Ibrahim Ali, Presiden PERKASA yang dikutip dari laman web rasmi PERKASA sendiri;
“Salam kepada semua umat Melayu Islam: Bersatu kita pastikan Melayu tak akan hilang di dunia dan bumi kita tidak akan di pijak orang. Lim Kit Siang berkata PERKASA adalah Syaitan di dalam blognya dan kita akan hadapi Iblis ini yang tidak mengenang budi atas pengorbanan umat Melayu selama ini. Kebangkitan Melayu bermula pada tanggal 27 Mac 2010.”
“Pada akhbar The Sun yang melaga PERKASA dengan DYMM Sultan Selangor, membujur lalu melintang patah, genggam bara api biar sampai jadi arang.”
Apakah kata-kata ini tidak kedengaran bernada hasutan? Siapakah Ibrahim Ali yang bebas untuk berkata apa sahaja? Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang tidak sanggup untuk saya ucapkan, ia adalah bahasa kurang ajar yang hanya terbit dari mulut orang Melayu yang mahu bergaduh. Bagi orang Melayu yang masih dalam keadaan waras dan wajar, ini bukan bahasanya. Melayu dikenal dengan adab-sopannya, menegur pun masih berkias.
Saya bersetuju akan ada benarnya hujah PERKASA bahawa tidak banyak negara di dunia ini yang mempunyai komposisi kaum yang unik seperti Malaysia. Amerika Syarikat pun tidak sama dengan Malaysia. Kerana tidak sama, maka saya rasa tidak perlulah ada satu lagi klon Ku Klux Klan di Malaysia. Kita tidak perlukan PERKASA di negara ini, keutuhan negara kita tidak mampu menampung beratnya kesan yang lahir dari kemunculan kumpulan-kumpulan ultra nasionalis sebegini.
Saya fikir ada benarnya tempelak orang terhadap pengwujudan PERKASA ini. Tidakkah pelik di sebuah negara yang majoriti penduduknya Melayu, diperintah sejak merdeka oleh gabungan parti yang diketuai oleh parti Melayu, perlu wujud sebuah kumpulan pendesak Melayu yang katanya mahu memperjuangkan hak orang Melayu? Kalau PERKASA merasakan hak orang Melayu selama ini diabaikan, ia bukan salah sesiapa melainkan parti pemerintah yang bertanggungjawab merangka dasar dan program, ingat! Ibrahim Ali si Presiden PERKASA itupun pernah berada di dalamnya.
Ibrahim Ali sebenarnya menubuhkan PERKASA untuk apa? Untuk kepentingan perjuangan Melayu dan pribumi (pribumi? hahaha!!!)? Atau untuk koleksi peribadi? Di mana Majlis Tindakan Rakyat Kelantan sekarang? Semua orang tahu, sejak dari kampus, Ibrahim Ali tidak pernah berhenti dari berpolitik, sampai sekarang. Semua orang juga tahu, Ibrahim Ali menggunakan PAS untuk bertanding dan menang menjadi Ahli Parlimen, kalau tidak dia akan hilang wang pertaruhan. Salahkah kalau saya buat kesimpulan PERKASA adalah “bini” baru Ibrahim Ali bagi menggantikan PAS yang sempat dikahwin mutaah sekejap dahulu?
Saya patut mencari Zurinah Hassan, pemuisi hebat itu bagi mencoret puisi “Hanya politik kerana politik” khas buat Ibrahim Ali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan