"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Atasi judi diberi lesen, elok juga luluskan tandas tempat bersalin

Mohd Nasir Awang

BEBERAPA media cetak pada Rabu (12 Mei) menyiarkan laporan kes seorang pelatih di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Oval di Papar, Sabah, melahirkan anak di dalam tandas. Remaja berusia 18 tahun dari Keningau itu memasuki kem berkenaan pada Mac lalu. Siasatan mendapati bayi dikandungnya adalah hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya berusia 20 tahun dari daerah sama. Tiada pihak di kem berkenaan yang menyedari pelatih itu mengandung sepanjang dua bulan menjalani latihan di situ.

Rahsia itu bagaimana pun terbongkar apabila tangisan kuat bayi dilahirkannya itu mengusik kesunyian suasana awal pagi itu. Sekumpulan pelatih yang memberanikan diri mencari punca bunyi itu akhirnya menemui rakan mereka bersama bayi yang baru dilahirkannya di dalam tandas. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Menariknya, kes itu berlaku tidak sampai seminggu tersiarnya kes dengan jalan cerita hampir sama melibatkan seorang pelajar di Dungun, Terengganu. Media pada 6 Mei lalu melaporkan pelajar berusia 16 tahun itu melahirkan anak di dalam tandas di sebuah pusat kesihatan tidak jauh dari rumahnya. Remaja yang berasal dari Felda Jerangau Barat itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa jirannya ke Klinik Kesihatan Jerangau.

Bagaimana pun, sewaktu menjalani pemeriksaan, dia dikatakan keluar dari bilik rawatan dan bergegas ke tandas dengan alasan untuk membuang air. Seorang pesakit lain yang pergi ke tandas sama ternampak air bercampur darah mengalir keluar dari dalam tandas itu. Orang ramai dan kakitangan klinik berkenaan yang bergegas ke tandas itu terkejut mendapati seorang remaja baru sahaja melahirkan bayi di dalamnya. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Angkara hubungan sulit


Pelajar Tingkatan Empat itu kemudiannya mengaku bahawa bayi berkenaan adalah hasil hubungan sulit dengan jiran sekelasnya sejak Oktober tahun lalu. Mungkin ada yang menganggap kedua-dua kes melahirkan anak dalam tandas tadi hanyalah kes terpencil dan tidak wajar dijadikan asas generalisasi kecenderungan umum.

Namun menyedari betapa tidak semua kes sebegitu termuat di dalam media atau sampai ke pengetahuan masyarakat, dapat diandaikan bahawa jumlah kes seumpamanya di luar sana bukan lagi angka yang kecil. Kekerapan laporan kes-kes pembuangan bayi, sama ada yang masih hidup atau telah mati, juga meningkatkan kebarangkalian bahawa tempat strategik seperti tandas menjadi pilihan wanita termengandung menyelesaikan rahsia peribadi mereka.

Sebelum ini pun sudah ada kes-kes bayi atau janin ditinggalkan dalam mangkuk tandas. Ada juga kes mayat bayi ditanam di belakang rumah selepas dilahirkan di dalam tandas berdekatan. Ertinya, gejala melahirkan anak dalam tandas perlu dianggap semakin serius dan tidak boleh lagi dipandang mudah. Justeru, bagaimana mahu ditangani gejala ini daripada terus menyubur?

Lebih penting lagi, bagaimana mahu membendung berulangnya kes-kes menggempar dan memalukan sebegitu? Secara seriusnya, usaha mencegah kehamilan luar nikah mesti dipertingkatkan. Caranya ialah dengan membendung gejala pergaulan bebas yang menjurus remaja kepada amalan seks luar nikah. Ia memerlukan komitmen semua pihak, terutama pihak berkuasa.

Hujah loyar buruk pemimpin Umno

Secara sinisnya pula kita boleh kata bahawa kes ini tidak begitu sukar diselesaikan. Jalan singkat menyelesaikannya ialah dengan mengguna pakai hujah loyar buruk dikemukakan Kementerian Kewangan dalam kes perjudian bola sepak yang hangat diperbahaskan seminggu dua ini. Media melaporkan hasrat kementerian berkenaan meluluskan lesen perjudian bagi membolehkan dibuat pertaruhan sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan. Alasan utamanya ialah agar dengan langkah itu segala aktiviti pertaruhan haram dapat dikawal.

Meski pun mendapat bantahan pelbagai pihak, kerajaan tetap meneruskan hasrat itu. Media cetak pada Khamis (13 Mei) melaporkan Kementerian Kewangan telah memberi lesen dimaksudkan kepada Berjaya Group, sebuah syarikat judi tempatan. “Setelah diteliti, kerajaan telah menimbangkan permohonan ini agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa,” akhbar memetik kenyataan timbalan menteri berkenaan. Ertinya, pada pendirian kerajaan, cara terbaik membendung aktiviti judi haram ialah dengan mengeluarkan lesen.

Mengikut logik pandir yang kerajaan pakai, apabila aktiviti itu diiktiraf sebagai halal, maka selesailah masalah judi haram. Maka dalam kes melahirkan anak dalam tandas ini, apa kata jika kerajaan sekali lagi menggunakan logik pandir tadi?

Umumkan tandas tempat bersalin

Kementerian Kesihatan boleh mengeluarkan satu pengakuan umum bahawa mana-mana tandas yang ada di seluruh negara adalah diakui sebagai antara tempat pilihan terbaik bagi wanita mengandung melahirkan bayi mereka. Dengan itu sekiranya berulang lagi kes seperti di Dungun dan Papar itu, maka tidak akan ada kegemparan lagi.

Ia menjadi bahan berita sensasi hanya kerana tempat itu luar biasa bagi orang melahirkan anak. Andaikata tandas sudah diiktiraf kerajaan sebagai salah satu tempat untuk tujuan itu, maka tidak akan ada lagi kecoh atau gemparnya jika ada wanita melahirkan anak dalam tandas. Rasa malu kerajaan atas gejala negatif itu juga “selesai”. Sinis, bukan?

Tiada ulasan: