"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan gagal haram jualan rokok 14 batang

Pengharaman penjualan rokok 14 batang gagal dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini dengan alasan kementerian kesihatan memerlukan lebih banyak masa untuk membuat kajian mengenai kesannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik Bernama berkata, tarikh penguatkuasaan itu tidak dapat dilaksanakan kerana bimbang pengharaman penjualan rokok 14 batang akan menyebabkan lebih banyak lambakan rokok haram di negara ini.

"Pengecualian untuk penjualan rokok 14 batang sememangnya diberikan sehingga satu tarikh yang belum diputuskan pada 2010, namun kementerian sebelum ini membuat cadangan untuk mempercepatkannya kepada Jun ini.

"Memandangkan lebih banyak data diperlukan tentang kesannya, Kabinet semalam memutuskan supaya ia tidak dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, satu kenyataan juga akan dikeluarkan secepat mungkin mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Tiong Lai pernah menyatakan bahawa penjualan rokok 14 batang akan diharamkan bagi mengehadkan kebolehcapaian awam terhadap rokok terutama di kalangan remaja dan hanya membenarkan penjualan rokok 20 batang yang harganya lebih mahal.

Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam satu kenyataan medianya melahirkan rasa kesal dengan ketidak-upayaan kerajaan akan menangguhkan pengharaman pek kecil rokok.

“Kadar epidemik merokok di Malaysia tidak patut dipandang ringan. Lebih daripada 50% lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok. Kira-kira 50 kanak-kanak Malaysia di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari.

“Sem
entara itu terdapat kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok, menjadikannya salah satu pembunuh utama di negara ini,” kata presidennya, SM Mohamed Idris.

“Kami menganggap kerajaan bersikap serius apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tahun lalu bahawa tidak ada lagi kelewatan dalam pengharaman terbabit dan pada Jun 2010, selepas tertangguh selama 5 tahun, pek 14 batang rokok itu akan disingkirkan dari pasaran.

“Nampaknya, rakyatlah yang tersingkir! Keuntungan yang diraih oleh segelintir pihak lebih penting daripada kesihatan penduduk amnya,” kata CAP lagi.

Menurut Idris lagi, Seksyen 16(1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2000 jelas menyebut “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam bungkusan yang mengandungi tidak kurang daripada 20 batang rokok.”

Justeru, katanya, kerajaan sendiri melanggar peraturan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: