"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasatan kes remaja mati ditembak polis selesai esok

Kertas siasatan kes remaja yang didakwa mati ditembak polis di Taman Johor Jaya di sini 20 Oktober tahun lalu dijangka selesai esok, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya polis sebelum ini menunggu laporan dari Jabatan Kimia berhubung kematian Mohd Afham Arin, 18, bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

“Selain itu, saksi utama kejadian (rakan mangsa) juga hanya tampil membuat laporan polis pada Januari tahun ini meskipun kejadian itu berlaku pada Oktober tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-54 Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) Kontinjen Johor hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Johor Baharu kelmarin, ibu remaja itu, Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, mahu satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian anaknya.

Beliau mendakwa pihak berkuasa masih tidak memberikan penjelasan dan siasatan terperinci mengenai kes itu walaupun kejadian terbabit sudah tujuh bulan berlalu.

Berhubung perkara itu, Mohd Mokhtar memberi jaminan polis akan bersikap telus dan menggesa agar isu itu tidak dieksploitasi atau dipolitikkan mana-mana pihak semata-mata untuk menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap polis.

Semasa kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang dipercayai terlibat jenayah ragut menyerang polis berpakaian biasa dengan parang sebelum mati ditembak.

Mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang rakan sebelum itu telah dikejar sejauh 15 kilometer, oleh tiga anggota polis bermotosikal.

Rakannya, Mohd Firdaus Marsani, 19 mendakwa mereka melarikan diri kerana menyangkakan anggota polis berpakaian biasa itu adalah penjenayah kerana tidak menunjukkan kad kuasa mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang melibatkan kematian mangsa.

-Bernama-

Tiada ulasan: