"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua Anggota Polis Didakwa Terima Rasuah RM600

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM600 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang terlibat dengan dadah, tiga tahun lepas.

Lans Koperal Azizi Ibrahim, 45, dan Koperal Roslee Che Ani, 46, didakwa menerima rasuah daripada Mahafez Mohamed sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Sagiman Zakaria di hadapan kedai makan Steven Corner, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, Ampang pada 6.30 petang, 17 Sept, 2007.

Mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Osman menawarkan tertuduh dengan jaminan RM2,000 bagi setiap seorang, namun mereka yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kewangan.

Hakim Mohd Nasir Nordin kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.

-bernama-

Tiada ulasan: