"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mugilan cabar Samy Vellu pecat ahli MIC sertai GAS

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan, mencabar Datuk Seri S Samy Vellu memecat semua ahli MIC yang dijangka hadir pada perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) Ahad ini.

Mugilan berkata, beliau sedia membantu presiden MIC itu untuk mengenal pasti identiti mereka yang hadir kerana yakin 80 peratus daripadanya adalah anggota MIC.

"Saya yakin 80 peratus daripada mereka yang hadir pada perhimpunan itu nanti ialah anggota MIC. Jadi, saya cabar Datuk Seri S Samy Vellu pecat semua anggota yang menghadiri perhimpunan itu," katanya pada sidang media mengumumkan tempat baru perhimpunan itu di Petaling Jaya, hari ini.

Perhimpunan GAS yang sepatutnya diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad ini diubah ke Pusat Konvensyen The Mines di Seri Kembangan pada hari yang sama, jam 2 petang berikutan pihak pengurusan PWTC membatalkan tempahan mereka di saat akhir.

Mugilan yang juga penganjur GAS berkata, perubahan tempat terpaksa dilakukan kerana pengurusan PWTC menarik balik tempahan yang dibuat dan beliau yakin keputusan PWTC itu dibuat setelah adanya campur tangan daripada Samy Vellu.

Beliau berkata, berikutan perubahan tempat, pihaknya mendapati jumlah mereka yang akan hadir meningkat secara mendadak daripada jangkaan awal sebanyak 10,000 kepada 15,000 orang.

Sehubungan itu, Mugilan memohon semua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk bersama-sama mendesak supaya Samy Vellu segera meletakkan jawatan dan percaya mereka yang tidak berbuat demikian akan ditolak perwakilan pada pemilihan parti akan datang.

"Saya menggesa semua anggota CWC menyertai saya mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan. Pada 2012 saya yakin perwakilan tidak akan mengundi anggota CWC yang mendiamkan diri," katanya dan yakin perbuatan mereka itu juga tidak akan dimaafkan oleh kaum India di negara ini.

Ditanya mengenai permit dan persediaan sekiranya perhimpunan itu nanti diganggu oleh pihak tertentu, Mugilan berkata perkara itu tidak perlu dibimbangkan kerana yakin polis mampu menanganinya dan permit mengenainya juga telah diperolehi.

Mengulas mengenai kritikan yang dibuat oleh Setiausaha Agung MIC, S Murugesan, terhadap tindakan Samy Vellu memecat anggota CWC parti, Mugilan berkata kritikan itu boleh diibaratkan tanda sokongan terhadap perjuangan GAS.

-Bernama-

Tiada ulasan: