"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan tidak patut sokong ‘pembekal kematian’

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Mei:
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’ berhubung penangguhan mengharamkan pek kecil rokok.

Sehubungan itu, CAP sangat terkejut dan kesal dengan pengumuman bahawa kerajaan akan menangguhkan pengharaman pek kecil rokok itu.

Presidennya, SM Mohamed Idris (gambar) berkata, melalui laporan media Edge Financial Daily hari ini, kabinet telah memutuskan untuk menangguhkan pengharaman tersebut sementara tidak ada tarikh baru diberikan.

Keputusan bagi mengharamkan pek 14 batang rokok itu diambil sebagai salah satu langkah untuk menurunkan kadar bilangan perokok terutama dalam kalangan remaja.

Katanya, kadar epidemik merokok di Malaysia tidak patut dipandang ringan kerana lebih daripada 50 lelaki lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok sementara kira-kira 50 kanak-kanak negara ini di bawah umur 18 tahun mula merokok setiap hari.

Sementara itu, ujarnya terdapat kira-kira 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan merokok, menjadikannya salah satu pembunuh utama di negara ini.

“Kami memandang berat perkara ini kerana selepas 10 tahun kerajaan menjalankan kempen anti-merokok, hanya terdapat penurunan sebanyak 2 peratus dalam jumlah perokok.

“Kami menganggap kerajaan bersikap serius apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tahun lalu bahawa tidak ada lagi kelewatan dalam pengharaman terbabit dan pada Jun 2010, selepas tertangguh selama lima tahun, pek 14 batang rokok itu akan disingkirkan dari pasaran,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, nampaknya rakyatlah yang tersingkir, keuntungan yang diraih oleh segelintir pihak lebih penting daripada kesihatan penduduk amnya.

Menurutnya, Seksyen 16(1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2000 jelas menyebut: “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam bungkusan yang mengandungi tidak kurang daripada 20 batang rokok”.

“Kini kerajaan melanggar peraturannya sendiri. Kerajaan tidak sepatutnya menyokong ‘pembekal kematian’. Pengharaman itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan,” ujarnya.

Tiada ulasan: