"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid kagum saksi utama kes Aminulrasyid konsisten

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 26 Mei:
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menyuarakan rasa kagum dengan Azamuddin Omar, 15, saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah kerana konsisten dalam membuat kenyataan walaupun terpaksa berhadapan dengan masyarakat polis di kediamannya, di sini.

“Saya berasa kagum dengan Adik Azam kerana beliau konsisten dengan kenyataannya sebelum ini.

“Dia sekeluarga tentunya menghadapi polis dengan sabar kerana rumahnya dalam kuarters polis bergaul dengan keluarga polis yang sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada Azam,” jelas beliau, semalam.

Tambahnya lagi, siasatan polis sejak kes tersebut menjadi perhatian umum dilaporkan turut mengganggu emosi Azam yang kebetulan bakal menempuh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

Disebabkan itu, beliau meminta pihak polis menyegerakan siasatan kes kematian kawan Azam, Aminulrasyid.

"Saya rasakan, lebih cepat pihak polis membetulkan keadaan dengan menyatakan keadaan dan kenyataan sebenar, akan melepaskan dirinya (saksi utama) daripada trauma yang sedang dia alami," tambahnya.

Dalam pada itu, Khalid turut menyuarakan rasa kecewa dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kerana enggan mengaku bersalah atas kecuaian anggotanya serta meminta maaf kepada keluarga mangsa.

"Mengapa KPN (Musa) susah nak minta maaf, saya tidak faham mengapa di Selangor mereka (Khalid) begitu berkeras mempertahankan perkara yang semua orang tahu tak betul.

"Tapi di Negeri Sembilan, hari itu juga ketua polis negeri meminta maaf kepada keluarga pihak yang ditembak dan mengakui bahawa mereka tersilap,” ujarnya.

Pun begitu, beliau memuji Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh kerana bersedia mengaku bersalah atas kecuaian anggotanya menembak seorang awam sehingga cedera serta sanggup menziarahi mangsa sekeluarga di hospital untuk memohon maaf.

Dalam perkembangan yang lain, beliau turut memaklumkan bahawa Azam serta dua waris kepada arwah petang kelmarin mengambil keputusan membuat aduan susulan di di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kerana masing-masing tidak puas hati dengan tindak-tanduk kumpulan penyiasat dalam menyelesaikan kes tersebut.

Pada 26 April lalu, Aminulrasyid yang memandu kereta kakaknya tanpa lesen memandu telahpun ditembak mati oleh Polis berdekatan rumahnya di Seksyen 11, di sini.

Menurut Khalid Abu Bakar, juvana terbabit ditembak kerana dipercayaiPolis sebagai saspek geng perompak.

Tiada ulasan: